PEMAIN  Sarawak United FC, Kouassi Francis Kone cuba mengasak gawang Kedah di Stadium Darul Aman malam ini. FOTO Bernama
PEMAIN Sarawak United FC, Kouassi Francis Kone cuba mengasak gawang Kedah di Stadium Darul Aman malam ini. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kembali bangkit mencipta kemenangan selepas menewaskan Sarawak United 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah menamatkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini sekali gus melonjak ke tangga keempat liga.

Sang Kenari memulakan langkah kanan sebaik perlawanan bermula dengan jaringan Mahmoud Al-Mardi yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti seawal minit ke-8 selepas mendapat hantaran Fayadh Zulkifli dari ruang kiri gawang Sarawak United.

Sarawak yang tersentak cuba bangkit memburu gol melalui percubaan Francis Kone pada minit ke-12, namun tandukannya melepasi palang gol.

Al-Mardi sekali lagi mendapat peluang terbaik menerusi sepakan percuma pada minit ke-35 namun percubaannya yang lemah mudah dibaca penjaga gawang Sarawak United, Tauffiq Ar Rashid.

Dalam usaha Kedah mencari gol tambahan sebaik babak kedua bermula, mereka dikejutkan dengan jaringan penyamaan Sarawak United pada minit ke-53 melalui penyerang kelahiran Nigeria, Uche Agba.

Kedah yang tidak patah semangat meneruskan usaha memburu gol dan akhirnya berjaya menambah jaringan menerusi Ronald Ngah Wanja pada minit ke-75 selepas mendapat hantaran pantas daripada Sanrawat Dechmitr.

Semangat Kedah terus membara dengan asakan bahaya bertali arus ke kubu Sarawak dan pada minit ke-80, Al-Mardi sekali lagi menghukum The Crocs dengan gol ketiga menerusi percubaan jarak jauh yang terus menerjah ke jaring Sarawak United. Kedudukan 3-1 itu kekal hingga ke hujung babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 11:14 PM