PEMAIN Melaka United (jersi hijau) cuba menghalang penyerang JDT, Bergson Da Silva (kanan) yang meledak hatrik pada perlawanan malam tadi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
PEMAIN Melaka United (jersi hijau) cuba menghalang penyerang JDT, Bergson Da Silva (kanan) yang meledak hatrik pada perlawanan malam tadi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: "Kami pasrah dengan kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT)," kata pengendali Melaka United , Asri Ninggal.

Beliau mengakui ketiadaan pemain import dalam kesebelasan memberi impak aksi tidak konsisten pasukan itu yang tewas 0-4 kepada JDT pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Menurutnya, ketiadaan kapten, Sonny Norde, Ifedayo Olusegun, Emmanuel Oti, Justin Baas dan Adrianoo hanya beraksi di babak pertama menjejaskan rentak permainan pasukannya apabila gagal mengimbangi kekuatan skuad kendalian Hector Bidoglio.

"Kelibat pemain import mewakili 47 peratus kekuatan Melaka United, jadi apabila kami tidak dapat turunkan mereka, sudah pasti akan mengganggu perancangan dan kekuatan pasukan.

"Tambah pula, kami berlawan dengan JDT dan beraksi di laman mereka sendiri dan sudah tentu ia bukan mudah.

"Berbekalkan pemain yang ada, kami cuba beri tentangan tapi di penghujung permainan semuanya terarah kepada pasukan mana yang menjaringkan gol," katanya.

Asri berkata, ada pemain import terbabit cedera manakala ada yang berdepan masalah peribadi iaitu bapa tidak sihat.

Menurutnya, pemainnya berdepan situasi sukar tatkala beraksi dengan 10 pemain sepanjang 20 minit perlawanan pada babak kedua selepas jumlah pertukaran pemain dilakukan sudah mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 7:56 PM