ABDUL Hadi berucap ketika hadir perasmian Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah (KONSIS) 2024 di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Balai Islam, Lundang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDUL Hadi berucap ketika hadir perasmian Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah (KONSIS) 2024 di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Balai Islam, Lundang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik perlu bekerjasama dalam memberi pemahaman yang jelas mengenai agama syumul itu.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama itu perlu bagi mengelak salah faham dan Islam dilabel sebagai negatif serta dikaitkan dengan tindakan jenayah ekstrem.

Katanya, ia juga sekali gus untuk menjamin keharmonian antara masyarakat Islam dan bukan Islam dikekalkan.

"Islam dihentam bertubi-tubi dan dilabel macam-macam, malah apabila berlaku sesuatu (jenayah), terus dikaitkan dengan Islam, contohnya yang berlaku di Johor (serangan Balai Polis Ulu Tiram).

"Akhirnya (tuduhan) ternyata bukan. Sama ada (orang) bukan Islam yang fitnah atau kita, orang Islam yang bebal, yang tidak tahu tentang Islam," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah (KONSIS) 2024 di Balai Islam Lundang, di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pas sendiri sudah berjaya memecah tembok antara Muslim dan bukan Islam dengan kerjasama daripada pelbagai pihak yang mengamalkan budaya politik tidak ekstrem.

"Masyarakat bukan Islam yang menyertai Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti-parti politik yang bekerjasama dengan Pas banyak memainkan peranan dalam memecahkan tembok berkenaan," katanya.

Terdahulu, Konsis anjuran kerajaan negeri Kelantan menjadi platform memurnikan salah faham masyarakat terhadap keputusan kes Nik Elin Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman berhubung pembatalan 16 peruntukan di bawah Enakmen Kanun Syariah Jenayah (1) Negeri Kelantan 2019.

Ia menampilkan pembentang tiga kertas kerja termasuk ahli akademik, peguam dan hakim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 3:14 PM