TRIO Kedah dan Pulau Pinang memperagakan pingat yang mereka menangi. FOTO Mohd Amin Jalil.
TRIO Kedah dan Pulau Pinang memperagakan pingat yang mereka menangi. FOTO Mohd Amin Jalil.
Oleh Mohd Amin Jalil


Nilai: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akui penyertaannya dalam kejohanan berbasikal Siri Piala Trek Jepun, baru-baru ini, amat bermakna dalam persediaannya menghadap cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Meskipun mengakui sasaran masa terbaik yang diinginkan pada kejohanan itu iaitu di bawah 10 saat tidak kesampaian namun tetap penting dalam usahanya untuk memperbaiki tahap prestasi ketika saingan di Paris berbaki kira-kira dua bulan lagi.

"Ketika di Jepun baru-baru ini, saya agak kecewa dengan masa yang saya catat, Saya selalu 'strunggle' dengan diri sendiri, kelemahan baca trek, saya rasa boleh buat yang terbaik, tapi tak menjadi, saya anggap ia suatu ujian.

"Saya kena usaha dan cari lagi apa yang perlu untuk mencapai tahap prestasi terbaik kerana cabaran di Olimpik bukan mudah apa lagi bersaing dengan pelumba terbaik dunia.

"Untuk itu, saya hendak buktikan kejohanan di sini (Nilai) sebagai saat mencapai prestasi yang lebih menyakinkan," katanya ketika ditemui, di Velodrom Nasional di sini, lewat petang semalam.

Izzah Izzati tampil bersama rakan bagi menggalas cabaran Kedah pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2024, yang bermula semalam hingga Khamis ini.

Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman, bagaimanapun Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut membantunya.

Nur Izzah bakal menggalas cabaran di Olimpik dalam dua acara iaitu keirin dan pecut dan dia bersama pasukan trek negara bakal menyertai program latihan untuk tempoh dua bulan menjelang temasya itu, ke Eropah iaitu Belgium, Sepanyol dan England, sebelum menyertai perlumbaan di Paris yang dijadual pada 6 hingga 11 Ogos.

Sementara itu, pada pelumbaan semalam, trio wanita Kedah yang diketuai Nurul Izzah berjaya mempertahankan kejuaraan dalam acara pecut berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 3:08 PM