GAYA Vidakovic ketika sesi latihan pasukannya. FOTO Melaka United
GAYA Vidakovic ketika sesi latihan pasukannya. FOTO Melaka United
Nazri Abu Bakar

Melaka: Ketua jurulatih Melaka United (MU), Risto Vidakovic tidak mahu memberi alasan persiapan suntuk tidak sampai sebulan menjelang pembukaan Liga Super musim 2022 membataskan perancangannya.

Sebaliknya dia menyahut cabaran berkenaan dengan tenang dan kekal fokus mengenal pasti keupayaan dan kelebihan pemain untuk digarap dalam aksi sebenar kelak.

Dia mengakui masa amat singkat namun perlu melakukan mengikut tempoh yang ada dalam memastikan semua posisi bersedia menterjemah corak pemainan jitu.

"Masa yang ada tidak boleh dipanjangkan, sehubungan itu saya perlu melakukan percaturan terbaik dalam jangka masa berkenaan bagi mempersiap pasukan.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk membentuk mereka ke satu tahap yang diinginkan bukan sahaja buat diri saya, pengurusan malah penyokong pasukan," katanya.

Baginya, dia perlu menyusun taktikal pasukan dengan lebih teliti bagi membolehkan pemain mampu melakukannya mengikut perancangan.

Dalam masa sama dia percaya setiap pemain memiliki keistimewaan tersendiri dalam memacu kecemerlangan Melaka walaupun tidak berpeluang memilih pemain import sendiri, namun pemain yang ada dilihat cukup berkualiti berdasarkan rekod mereka.

Jurulatih dari Bosnia & Herzegovina itu juga akan menganalis persembahan pemain sepanjang latihan dan aksi persahabatan bagi memastikan keserasian antara mereka berada pada tahap terbaik.

Dia yang mula melatih pasukan Ahad lalu dilihat memiliki ramuan istimewa menerusi kehadiran ramai pemain berpengalaman, import dan pemain muda berkaliber untuk digarap kali ini.

Antara pemain berkenaan termasuk Norshahrul Idlan Talaha, Syahrul Azwari Ibrahim, Akmal Zahir, Fadhli Shaas, Shazwan Andik selain barisan import, Ifedayo Olusegun, Sony Norde, Emmanuel Oti, Justin Baas dan Adriano Narcizo.

Skuad berkenaan dijadual berdepan Selangor FC 2 pada 9 Februari dan Terengganu FC pada 18 Februari serta Selangor FC pada 25 Februari sebelum aksi pembukaan berdepan PJ City awal Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 4:24 PM