PEMAIN JDT menjalani latihan menjelang aksi menentang PJ City. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT menjalani latihan menjelang aksi menentang PJ City. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Mampukah Johor Darul Ta'zim (JDT) menambah koleksi piala keempat pada musim ini iaitu Piala Malaysia selepas menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan kejuaraan Liga Super?

Sudah tentu ia menjadi sasaran utama pengendali JDT, Hector Bidoglio yang akan memulakan kempen piala berprestij itu apabila berdepan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Apapun, pengendali kelahiran Argentina tampak mahu bersikap berhati-hati apabila berdepan skuad kendalian P Maniam yang begitu liat untuk ditewaskan tatkala mereka sering memberi tentangan sengit setiap kali JDT turun beraksi di laman pasukan itu.

"Kami mencatat keputusan seri 2-2 ketika saingan liga dan saya tidak menafikan pasukan PJ City FC memiliki `aura' tersendiri apabila beraksi di tempat mereka sendiri dan kami harus berwaspada dengan taktikal permainan yang bakal ditampilkan oleh pasukan lawan.

"Oleh itu, kami harus mempersiapkan diri untuk berdepan PJ City FC dan saingan Piala Malaysia berbeza dengan aksi liga di mana semua pasukan bukan sahaja JDT inginkan kejuaraan piala berprestij itu ditambah dengan kita gagal menjulang kejuaraan itu pada musim lalu.

"Beberapa kelemahan sudah diperbaiki dan ia bukanlah membimbangkan kerana pemain JDT tahu tugas yang harus dipikul malah mereka juga tampak bersedia untuk berdepan PJ City pada aksi pertama dan meletak sasaran untuk mencari kemenangan," katanya.

Bidoglio juga tidak menolak akan membariskan semula Fernando Forestieri dalam kesebelasan utama selepas tidak diturunkan ketika beberapa aksi saingan liga dan pemain import dari Argentina itu sudah kembali menjalani latihan seperti biasa.

Beliau berkata, hanya Shane Lowry sahaja yang tidak dapat meneruskan aksi bersama JDT pada musim ini akibat kecederaan siku yang dialami ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), 4 Oktober masih belum pulih sepenuhnya.

"Taruhan di posisi serangan sudah tentunya Bergson (Da Silva) yang akan mengepalai posisi itu dan saya berharap sentuhan berbisanya ketika saingan liga berterusan pada aksi Piala Malaysia kerana kami mahu memburu slot ke final dan menebus kehampaan pada musim lalu apabila gagal menjuarai piala berprestij itu," kata Bidoglio.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 6:46 PM