PENJAGA gol PJ City,  Kalamullah Al Hafiz mengawal gawang daripada ditembusi pemain JDT. FOTO Bernama
PENJAGA gol PJ City, Kalamullah Al Hafiz mengawal gawang daripada ditembusi pemain JDT. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: "Bukan mudah untuk menang lagi biarpun sudah berada di kedudukan selesa." Itu luahan pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio selepas skuad bimbingan hanya sekadar menang 2-0 ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi kedua dan layak ke suku akhir dengan agregat 6-0 pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Katanya, persembahan dipamerkan barisan pemain JDT sememangnya baik tapi bukan mudah untuk sekali lagi menang selepas menang selesa 4-0 pada aksi pertama kerana ia membabitkan keyakinan dan motivasi.

"Apabila beraksi di laman sendiri, tekanan tetap ada dan kami harus meningkatkan mentaliti pemain supaya mereka memberi sepenuh tumpuan beraksi sepanjang 90 minit permainan tanpa memikirkan mengenai apa yang akan berlaku.

"Pemain juga tidak boleh hilang fokus dan sentiasa di tahap 100 peratus kerana ia penting dalam permainan bola sepak berintensiti tinggi kerana jika ada kesilapan yang dilakukan mudah buat pasukan lawan mengambil kesempatan," katanya.

Pada aksi menentang PJ City FC, Bergson Da Silva yang tidak diturunkan dalam pertembungan pusingan pertama meledak jaringan seawal minit keempat menerusi rembatan jarak jauh dan pemain gantian Fernando Forestieri menyumbang jaringan pada minit ke-72 untuk memastikan kemenangan buat skuad Harimau Selatan.

Mengulas mengenai penampilan pertama Jordi Amat beraksi di pentas Liga Malaysia (Liga M), pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan pemain itu memiliki pengalaman luas beraksi di Eropah dan berkualiti malah dapat menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterap dalam perlawanan itu.

"Malam ini (malam tadi), Jordi beraksi konsisten mengemudi benteng pertahanan bersama Shahrul (Saad) dan Feroz (Baharudin) dan dia perlu terus beraksi untuk mendapat minit permainan malah akan memberi menyumbang kekuatan benteng JDT," kata Bidoglio.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 11:12 AM