AKSI pemain Malaysia ketika menentang pasukan Brunei dalam kategori regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa. -FOTO Bernama
AKSI pemain Malaysia ketika menentang pasukan Brunei dalam kategori regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skuad regu berpasukan Malaysia melaungkan keyakinan bahawa mereka mampu mempamerkan prestasi terbaik untuk mara ke final pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Ketua jurulatih pasukan negara, Ahmad Jais Baharun berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi konsisten dalam ketiga-tiga regu untuk mencatatkan kemenangan dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

Jelasnya lagi, dalam acara berpasukan, setiap regu perlu berada di tahap terbaik dan tidak boleh ada perbezaan yang ketara sekiranya ingin melakarkan kejuaraan.

"Kita lebih peluang untuk ke final dalam acara regu. InsyaAllah. Sebab kita ada tiga regu yang konsisten.

"Jadi kita tak berapa risau. Bukan kita terlalu yakin tapi kekuatan ketiga-tiga regu itu seimbang. Jadi ini memberikan peluang yang lebih untuk acara berpasukan.

"Kita pun sudah cuba pelbagai regu semasa latihan dan saya lihat kita ada kekuatan dalam acara berpasukan," katanya.

Selain itu, ketika di tanya mengenai hasrat gergasi sepak takraw, Thailand untuk menyapu bersih ketiga-ketiga kategori, Ahmad Jais tidak tergugat sebaliknya mereka akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:58 PM