SIVASANGARI kini menghuni ranking ke-10 dunia. -FOTO PSA
SIVASANGARI kini menghuni ranking ke-10 dunia. -FOTO PSA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: 'Budak Ajaib' itu yang dilabel Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee selepas pemain wanita negara, S Sivasangari berjaya melonjak ke rangkin ke-10 dunia.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, beliau berasa bangga dan sangat gembira dengan apa yang diraih Sivasangari setakat ini walaupun berdepan pelbagai kesusahan serta cabaran.

"Dia seorang pemain yang memiliki kemahiran tinggin dan berkaliber. Paling penting dia tidak pernah menyerah kalah. Tidak ramai mempunyai kekuatan seperti dia, sangat ajaib selepas mengalami kemalangan agar teruk sebelum ini," kata Sharon.

Ujarnya, banyak yang boleh dipelajari daripada Sivasangari bangkit (daripada kemalangan) terus menjadi pemain nombor 10 dunia.

"Bukan sahaja atlet, kita sendiri sebagai manusia biasa juga boleh belajar daripadanya. Bagaimana, dia bangkit daripada kesusahan dan cabaran selepas kemalangan.

"Titik-tolak daripada itu saya pasti dia mampu melonjak ke kelompok lima pemain terbaik dunia dan satu hari nanti mengungguli ranking nombor satu dunia," kata Sharon.

Sementara itu, Sivasangari dalam akaun X miliknya berkata, dia berazam untuk terus berusaha dan menikmati setiap proses yang bakal dilaluinya.

"Ini adalah mustahil (mengecapi kejayaan berkenaan) tanpa sokongan pasukan saya yang luar biasa. Ia mendorong, menggalakkan, dan sentiasa kekal bersama saya untuk melalui suka dan duka," katanya.

Juara Klasik London berusia 25 tahun itu mencapai kedudukan tertinggi dalam kerjayanya dalam kemas kini terkini daripada Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas melonjak satu anak tangga dari tempat ke-11.

Turut bangga dan mengucapkan tahniah kepada Sivasangari ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 3:01 PM