VELAZQUEZ (tengah) digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning. FOTO MOHD ADAM ARININ
VELAZQUEZ (tengah) digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning. FOTO MOHD ADAM ARININ
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Selepas hanya mampu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak bersikap lebih berhati-hati apabila membuat perhitungan pada aksi separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio menyifatkan aksi timbal balik nanti tetap sukar dan perlu memperkemaskan lagi setiap posisi bagi memastikan usaha menempah tempat ke final buat dua musim berturut-turut tidak tersekat apabila berdepan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

"Kita beraksi baik pada aksi separuh akhir pertama dan membawa bekalan satu gol malah momentum permainan yang tersusun harus dikekalkan dan perlu membuat pembaharuan terutama aspek taktikal bagi lebih ampuh.

"Saingan separuh akhir sememangnya sukar kerana pasukan lawan akan beri segalanya selepas bekalan satu gol yang di bawa pulang dari Kota Kinabalu belum selamat dan kami akan menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri untuk memburu kemenangan namun tetap berhati-hati kerana Sabah FC juga tidak kurang hebatnya.

"Kami akan tingkatkan lagi corak permainan yang lebih kemas dan mantap supaya setiap gerakan dan perancangan yang dibuat membuahkan hasil dan kami jangkakan Sabah akan cuba ambil kesempatan jika kami sedikit alpa," katanya.

Mengulas lanjut berhubung ketiadaan Leandro Velazquez yang digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning dan Feroz Baharuddin yang dilayangkan kad merah pada aksi separuh akhir pertama itu, pengendali kelahiran Argentina tidak gusar dengan situasi berkenaan.

Katanya, JDT memliki skuad yang besar dan ia memberi ruang untuk memilih pengganti Velazquez dan Feroz untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pada pertembungan menentang skuad The Rhinos.

"Tiada masalah jika kami tidak dapat menggunakan khidmat Feroz dan Leandro kerana kami memiliki skuad yang besar kerana semua pemain bersedia diturunkan dan kami perlu bekerja keras sebagai satu pasukan," kata Bidoglio.

Dengan ketiadaan Velazquez kemungkinan posisi tengah bakal diisi oleh Nazmi Faiz Mansor atau Safiq Rahim bagi menjana jentera tengah yang menjadi nadi utama skuad Harimau Selatan melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan.

Di posisi pertahanan, kemungkinan pemain yang baru mendapat taraf kewarganegaraan Indonesia, Jordi Amat akan bergandingan bersama Shahrul Saad mengemudi benteng sambil Matthew Davies dan Corbin akan kekal di posisi bek kanan dan kiri.

Apapun, barisan pemain JDT harus sentiasa mempamerkan aksi konsisten dan kerap melakukan tekanan terhadap benteng lawan dan usah mempedulikan provokasi pemain lawan yang hanya mahu menjejaskan emosi sehingga menyebabkan pemain hilang fokus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 11:58 AM