MOHD Fared. FOTO NSTP.
MOHD Fared. FOTO NSTP.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johorr (JAIJ) akan memastikan semua pusat pendidikan dan pembelajaran Islam di negeri ini termasuk yang dibina komuniti Rohingya dipantau secara dekat dan mendapat tauliah serta kebenaran.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khaled berkata, pemantauan perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada penyemaian fahaman ekstrisme dan radikal.

Menurutnya, langkah itu diambil seperti yang tertakluk mengikut Enakmen Pengawalan Pendidikan Agama Islam Negeri Johor.

Katanya, perundangan berkenaan terpakai membabitkan semua pusat pembelajaran dan pengajian Islam daripada pendidikan awal sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

"Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) adalah badan yang mengawal selia Agama Islam di negeri ini, siapa yang mengajar, apa yang diajar, kitab apa yang dipandu, kita kena ambil tahu.

"Oleh itu, MAIJ dan jabatan mesti masuk dan mengambil tanggungjawab di semua premis seperti ini.

"Ini bagi menunjukkan kesungguhan kita membuat tugasan dan kawalan penyebaran agama Islam, dalam masa sama mengelakkan kebimbangan yang mungkin berlaku masa depan.

"Kita khuatir jika tiada pemantauan dilakukan, ia mungkin menjadi bibit awal kepada fahaman ekstrisme," katanya.

Terdahulu, Mohd Fared mengunjungi pusat pembelajaran Islam yang dibangunkan komuniti etnik Rohingya di Kampung Senibong di sini.

Pusat pengajian komuniti Rohingya yang diwujudkan sejak 2020 itu membabitkan tiga tenaga pengajar dan memiliki seramai 113 pelajar berusia enam hingga 10 tahun yang dikenakan bayaran RM50 sebulan.

Menurutnya, undang-undang itu juga terpakai kepada golongan minoriti umat Islam itu bagi memastikan MAIJ mempunyai rekod dari segi kemasukan tenaga pengajar, silibus pengajaran dan sebagainya.

"Kita mahu pengurusan kesemua pusat pembelajaran Islam tersusun dan dipantau, ia bagi mengelakkan sebarang kebimbangan kepada masyarakat terutamanya selepas kejadian yang menggemparkan negara," katanya.

Beliau berkata, maklumat daripada orang awam berkaitan premis berkenaan yang didakwa mengadakan pengajaran agama Islam bagi orang anak-anak etnik Rohingya itu tiada tauliah diberikan untuk pengajaran.

"Atas semangat perundangan sedia ada, saya mengarahkan JAIJ bersama bahagian penguatkuasaan untuk membantu permohonan pusat pembelajaran ini.

"Kita akui keperluan mereka untuk mendapatkan pendidikan agama Islam, mungkin kekangan daripada bahasa itu menyebabkan guru-guru kita tak boleh mengajar mereka.

"Oleh itu, kena ada semakan dan ada permohonan supaya JAIJ boleh melihat bagaimana institusi pendidikan agama masyarakat minoriti ini dibantu utk diselaraskan dengan perundangan sedia ada," katanya.

Mohd Fared berkata, selain di Mukim Plentong ini, pihaknya turut mengesan pusat pembelajaran Islam etnik Rohingya di kawasan Tiram dan Kempas serta di daerah lain di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 3:12 PM