STANLEY bergambar dengan pari benting yang berjaya didaratkan di perairan Kampung Gayang, Tuaran. FOTO Johary Indan
STANLEY bergambar dengan pari benting yang berjaya didaratkan di perairan Kampung Gayang, Tuaran. FOTO Johary Indan
Johary Indan


Tuaran: Seorang pemancing terpaksa bertarung lebih dua jam sebelum berjaya mendaratkan seekor pari seberat 30 kilogram ketika memancing di perairan Kampung Gayang, di sini, semalam.

Pengalaman berharga yang sukar dilupakan pemancing dikenali Stanley Leo, 30-an itu dikongsikan beliau menerusi laman sosial turut mendapat perhatian warga net yang kagum dengan saiz pari berjaya didaratkan itu.

Menerusi gambar dikongsikan, Stanley menunjukkan pari spesis benting yang popular di Malaysia.

Stanley mendakwa tali pancingnya diheret sejauh 200 meter selama hampir dua jam sebelum berjaya mendaratkan pari itu.

"Saya hampir tewas oleh pari besar dengan berat 30 kilogram itu, apabila tali pancing saya diheret sejauh 200 meter.

"Ketika itu, apa yang bermain pada fikiran saya ialah buaya tersangkut pada tali pancing saya.

"Perasaan saya bertukar suka apabila melihat kelibat pari yang menarik tali pancing saya," katanya.

Perairan Kampung Gayang terkenal sebagai lokasi kaki pancing di Tuaran.

Difahamkan, pari spesis benting banyak di perairan itu. Lazimnya, pari spesis itu membenamkan diri ke dalam benteng pasir apabila wujud ancaman ke atasnya.

TUARAN, 21 MEI 2024 - Stanley Leo bergambar dengan pari benting yang berjaya didaratkan di perairan Kampung Gayang, Tuaran. - STR/JOHARY INDAN

From: Johary

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 2:58 PM