PEMAIN Scotland berlatih menjelang perlawanan menentang Ukraine. FOTO REUTERS
PEMAIN Scotland berlatih menjelang perlawanan menentang Ukraine. FOTO REUTERS
Reuters

Glasgow: Scotland berharap layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun dan anak buah Steve Clarke perlu mengatasi pasukan sedang dilanda peperangan, Ukraine, pada aksi play-off, hari ini.

Mereka akan bertarung di di Hampden Park dan pemenang akan ke Cardiff untuk play-off terakhir menentang Wales pada Ahad ini, untuk mengesahkan slot ke Piala Dunia di Qatar, November depan.

Pada ketika sokongan dan solidariti dari seluruh dunia kepada Ukraine, Scotland sedar ada penyokong neutral yang memihak kepada mereka dan Clarke berkata, pemainnya perlu mengetepikan perasaan lain dan hanya fokus kepada aksi 90 minit di atas padang.

Perlawanan itu sepatutnya diadakan pada Mac lalu, tetapi ditangguhkan selepas Rusia menyerang Ukraine pada Februari lalu. Walaupun bola sepak domestik ditangguh, Ukraine tetap mahu memburu peluang layak ke Piala Dunia.

"Mereka membuat keputusan mahu mendapatkan pemain bola sepak dari luar negara menyertai kem latihan kerana mahu bermain dan cuba menggembirakan rakyat negara itu dnegan layak ke Piala Dunia," kata Clarke.

"Perlawanan ini dipengaruhi aspek luar padang yang amat besar, tetapi kami akan fokus sepenuhnya kepada bola sepak."

"Bagaimana anda mahu menanganinya jika berada dalam situasi itu? Anda tidak akan tahu sehinggalah anda benar-benar mengalaminya. Saya mendoakan mereka dan berharap kebaikan untuk mereka - kecuali ketika perlawanan nanti," katanya.

Scotland mengakhiri kemarau panjang gagal layak ke kejohanan utama apabila beraksi di Euro 2020 dan Clarke percaya mereka tidak perlu menunggu lama untuk menyertai kejohanan bola sepak elit.

"Kami tidak mahu hanya layak ke satu kejohanan saja. Saya meyakinkan pemain bahawa kami akan terus layak sama ada Piala Dunia 2022 di Qatar atau (Euro) 2024 di Jerman atau Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat," katanya.

"Saya terdesak untuk ke Qatar bersama Scotland, begitu juga dengan staf dan pemain. Jadi, kami harus fokus kepadanya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 11:00 AM