KAPTEN Scotland yang juga bek kiri Liverpool, Andrew Robertson berlari ketika sesi latihan bersama pasukannya. FOTO AFP
KAPTEN Scotland yang juga bek kiri Liverpool, Andrew Robertson berlari ketika sesi latihan bersama pasukannya. FOTO AFP
AFP

London: Andrew Robertson menggesa rakan sepasukannya dalam skuad Scotland supaya mengetepikan sentimen apabila menentang Ukraine di separuh akhir play-off Piala Dunia, minggu depan.

Scotland akan melayan kunjungan Ukraine, Rabu depan pada perlawanan separuh akhir yang ditangguhkan dari Mac lalu selepas Rusia menyerang Ukraine pada Februari.

Ukraine dijangka mendapat sokongan peminat dari seluruh dunia apabila turun pada perlawanan kompetitif pertama sejak peperangan meletus.

Tetapi kapten Scotland, Robertson sedar pasukannya tidak boleh membenarkan perasaan simpati atas dasar kemanusiaan dibawa ke perlawanan di Glasgow itu.

"Bagi kami sebagai pemain dan pengurus, situasi sekarang ini memang pelik," kata Robertson kepada BBC Sport.

"Kami membantu Ukraine sebaik mungkin dari segi persetujuan menangguhkan perlawanan Mac lalu kepada Jun depan.

"Kami memberikan masa secukupnya kepada mereka dan tiada persoalan mengenai soalan tidak baik atau sebagainya. Kami membantu mereka setakat kemampuan kami, tetapi pada Rabu nanti, kami sedia berjuang dan berperang untuk memburu cita-cita kami.

"Kami dapat merasakan pengalaman berada di kejohanan besar (Euro 2020 pada tahun lalu) dan kami cuba untuk memisahkannya (keadaan emosi akibat konflik melanda Ukraine)."

Bek kiri Liverpool itu yang kini sedang membuat persediaan untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di Paris pada awal pagi Ahad ini, secara peribadi menyatakan dia akan menyokong Ukraine jika pasukan itu menentang pasukan lain.

Tetapi, dia menegaskan, Scotland tidak boleh terbuai-buai dengan emosi dalam usaha layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 9:04 AM