PEMAIN pertahanan, Oleksandr Zinchenko membalut badannya dengan bendera Ukraine ketika menjulang trofi Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City. FOTO ihsan Instagram Manchester City
PEMAIN pertahanan, Oleksandr Zinchenko membalut badannya dengan bendera Ukraine ketika menjulang trofi Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City. FOTO ihsan Instagram Manchester City
Reuters

London: Pemain pertahanan Ukraine, Oleksandr Zinchenko berkata, pasukannya sedia membanggakan negara itu apabila berdepan Scotland pada perlawanan play-off separuh akhir Piala Dunia, minggu depan.

Ukraine akan bertandang ke Hampden Park pada 1 Jun pada perlawanan yang ditangguhkan sejak Mac lalu susulan serangan Rusia, yang disifatkan Moscow sebagai operasi khas tentera.
"Pada peringkat awal peperangan bermula, memang sukar untuk memberi tumpuan kepada bola sepak," kata Zinchenko kepada BBC.

"Fikiran saya hanya kepada Ukraine dan rakyatnya. Perasaan sama terhadap semua orang, bola sepak Ukraine...

"Ini adalah satu daripada perlawanan terpenting dalam hidup saya. Pemain nampak bersedia dan tidak wajar bercakap mengenai motivasi."

Ia adalah perlawanan kompetitif pertama buat Ukraine sejak serangan Rusia pada Februari lalu dan saingan Liga Perdana Ukraine ditangguhkan, bulan lalu.

"Tanpa perlawanan, sudah tentu bukan mudah membuat persediaan fizikal kepada pasukan kerana pemain tidak bermain beberapa lama," kata Zinchenko.

"Bagaimanapun, dalam kes ini, tiada alasan dan kami mahu membuat kerja ini sebaik mungkin.

"Saya berjanji kepada rakyat Ukraine bahawa setiap pemain akan memberikan segala-galanya untuk memenangi perlawanan ini dan membuatkan mereka bangga."

Pemenang perlawanan ini akan menentang Wales di Cardiff pada 5 Jun untuk merebut satu slot ke Piala Dunia Qatar 2020, hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 12:45 PM