ADRIANO (dua dari kiri) cuba melepasi halangan pemain PIB FC pada aksi di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi. FOTO SYAFEEQ AHMAD
ADRIANO (dua dari kiri) cuba melepasi halangan pemain PIB FC pada aksi di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nazri Abu Bakar


Melaka: Dua jaringan bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha membantu Melaka United (MU) melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan PIB FC 4-0 di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi.

Malah tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului pelawat menerusi jaringan Emmanuel Oti pada minit ke-11 selepas mengutip hantaran kapten pasukan Sony Norde.

Bagaimanapun selepas itu skuad Hang Tuah buntu menambah jaringan walaupun memiliki beberapa peluang menerusi Khairul Anwar Shahrudin dan Adriano Narcizo.

Bersambung babak kedua menyaksikan tekanan hebat dicipta tuan rumah menerusi menerusi percubaan Akmal Zahir namun ditampan dengan tangan oleh Sukri Azman sekali gus menghadiah sepakan penalti kepada Melaka.

Adriano yang ditugaskan mengambil sepakan tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Izzat Abd Rahim pada m-56 untuk gol kedua tuan rumah.

Beraksi 10 pemain PIB terus diasak kali ini menerusi Norshahrul yang bijak menolak masuk gol ketiga pada m-60 hasil hantaran Khairul Anwar.

Penguasaan penuh skuad Hijau Putih terus meletakkan PIB lebih banyak berkubu di kawasan sendiri sekali gus membolehkan Norshahrul menghadiahkan gol keempat Melaka pada m-76 perlawanan.

Yakin dengan kelebihan yang ada, jurulatih Risto Vidakovic memberi ruang kepada pemain gantian mengambil alih tugas bintang import mereka menajamkan sentuhan dan keserasian.

Namun keputusan kekal sehingga ke wisel penamat perlawanan bagi membolehkan tuan rumah mara ke pusingan kedua menewaskan pasukan dari Liga M3 terbabit

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 10:48 PM