Pemain Selangor Muhammad Nazmi Faiz (kiri) melepasi pertahanan pemain Sarawak pada perlawanan Liga Super di Stadium Perbandaran Selayang. FOTO BERNAMA
Pemain Selangor Muhammad Nazmi Faiz (kiri) melepasi pertahanan pemain Sarawak pada perlawanan Liga Super di Stadium Perbandaran Selayang. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Selangor merampas kedudukan teratas Liga Super selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Pasukan Red Giants yang sebelum ini di kedudukan ketiga liga melonjak ke tangga teratas selepas berkongsi 10 mata bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan kelebihan jaringan.

Pada perlawanan itu skuad kendalian Zainal Abidin Hassan bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pasukan lawan seawal minit ketujuh menerusi pemain import, Juninho dari Brazil.

Biarpun ketinggalan, ia tidak mematahkan semangat pemain tuan rumah untuk menyamakan kedudukan menerusi R Gopinathan pada m-25 dan Patrick Ronaldinho Wleh dari Liberia pula menambah jaringan selang tiga minit kemudian.

Patrick Ronaldinho memberi keceriaan kepada penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga m-56 disusuli jaringan Azrif Nasrulhaq 11 minit kemudian.

Gol kedua Sarawak pula dijaringkan oleh Gilmar da Silva dari Brazil m-76 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Selangor, Shahrol Kalam.

Dalam beberapa perlawanan lain jaringan S Chanturu ketika perlawanan berbaki lapan untuk ditamatkan memastikan kejayaan JDT menewaskan Felda Utd 2-1 yang bermain dengan 10 pemain.

Jorge Pereyra Diaz menyamakan kedudukan buat Harimau Selatan pada m-50 selepas Lutfullah Turaev meletakkan Felda Utd mendahului pada separuh masa pertama (m-28).

Kedah yang ketinggalan menerusi jaringan m-30 Indra Putra Mahyudin bangkit menang 2-1 ke atas Kelantan di tempat sendiri.

Carlos Kahe meledak gol pertama Helang Merah pada m-76 diikuti penyudah Syafik Ahmad lima minit kemudian untuk memastikan tiga mata buat Kedah.

Pahang tumbang 1-2 kepada Terengganu.

Skuad Penyu mendahului melalui dua jaringan Amirul Syahmi Ashari m-13 dan 24 sebelum Pahang membalas melalui jaringan Salomon Raj m-48.

Di Stadium Bandaraya menyaksikan tuan rumah Pulau Pinang dan Perak berkongsi satu mata apabila kedua-dua pasukan seri 1-1.

Tuan rumah memperoleh gol pertama menerusi Osas Saha m-19 namun Perak berjaya menyamakan kedudukan melalui Shahrul Saad penghujung babak pertama dan kedudukan kekal hingga wisel penamat manakala TFC II sekadar seri 1-1 menentang PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 12:42 AM