GAYA Adriano meraikan jaringan pertama Melaka. FOTO  Bernama
GAYA Adriano meraikan jaringan pertama Melaka. FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) menepati sasaran meraih tiga mata selepas mengatasi Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 pada aksi pertama Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini.

Aksi yang tertangguh kira-kira 28 minit susulan kilat dan cuaca buruk ketika perlawanan memasuki minit ke-12 jelas rahmat buat skuad tuan rumah.

Tuan rumah yang lebih banyak menguasai perlawanan pada babak pertama meledak gol pembukaan pada minit ke-28 menerusi pemain import Adriano.

Gol terbabit berpunca daripada hantaran menarik Manuel Ott yang membolehkan Adriano melakukan sepakan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Damien Lim.

Pelawat yang terkejut dengan jaringan terbabit turut melakukan percubaan menarik namun tandukan Arthur Cunha dua minit selepas itu berjaya diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Mereka hampir menjaringkan gol menerusi Alain Akono pada minit ke-33 namun dibatalkan susulan offside.

Bersambung babak kedua skuad Jang bertindak agresif untuk mencari gol penyamaan namun tandukan kapten pasukan Nasrullah Hanif Johan pada minit ke-54 berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.

Melaka menambah jaringan kedua mereka pada minit ke-65 menerusi percubaan kaki kiri S Kumahraan untuk skuad terbabit selesa di depan.

Gerakan satu dua antara penyerang terbabit bersama Norde membolehkan Kumahraan bijak melakukan tolakan yang membias daripada pertahanan lawan menyebabkan bola melambung melepasi jangkauan Damien.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 11:44 PM