ADRIANO Narcizo. FOTO Nazri Abu Bakar
ADRIANO Narcizo. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Penyerang Melaka United (MU) kelahiran Brazil, Adriano Narcizo tetap melabel Kuala Lumpur City (KL City) sebagai pasukan mantap yang sukar dijangka.

Katanya, berdasarkan prestasi semasa, lawan bakal menampilkan persembahan bertenaga bagi melayan MU dalam pertemuan pusingan pertama di Stadium Bolasepak Cheras, malam esok.

"Saya fikir KL City pasukan yang sangat baik dan berkualiti, tetapi pasukan kami juga kini amat baik, malah kami juga berada dalam situasi lebih selesa untuk memberi persembahan cemerlang.

"Saya sangat gembira membantu pasukan setakat ini namun saya perlu terus memberikan komitmen lebih tinggi pada peringkat ini untuk membantu kemenangan pasukan sekali gus ke final," katanya.

Malah sejak hadir ke bumi bersejarah itu Mei lalu, dia mengakui amat teruja menyarung jersi skuad Hijau Putih selain mengakui selesa dengan rakan sepasukan, pengurusan, jurulatih serta penyokong.

Apa yang pasti pemain berusia 27 tahun dari Amerika Selatan itu turut mengidam membawa Melaka ke final buat julung kali dalam sejarah pasukan terbabit.

Adriano berkata, lebih manis dia mahu menjulang Piala Malaysia kerana itulah matlamat mana-mana pemain yang sentiasa memberi keutamaan kepada pasukan yang diwakili.

Adriano yang pernah beraksi dalam Serie D, Brazil mewakili kelab Galvez Esporte Clube itu jelas menjadi antara senjata buat Melaka bersama Giovane Gomes dan Sony Norde.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 8:17 PM