Pemain Melaka (kiri) melakukan rembatan ke arah gol Sabah FC di Paya Rumput. FOTO Syafeeq Ahmad
Pemain Melaka (kiri) melakukan rembatan ke arah gol Sabah FC di Paya Rumput. FOTO Syafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka menempah slot ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah 2- 1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Keputusan itu mengesahkan penguasaan Melaka untuk mara dengan agregat 3-1 selepas meraih kemenangan 1-0 pada pusingan pertama di Kota Kinabalu minggu lalu.

Tuan rumah yang tekad untuk mengekalkan kelebihan pada pusingan pertama jelas tidak menunggu lama untuk mendahului jaringan menerusi Adriano Narcizo pada minit ketiga.

Gol berpunca daripada hantaran Manuel Ott yang disambut baik Andriano untuk meledak ke kanan gawang pelawat yang gagal diselamatkan penjaga gol, Rozaimie Rohim.

Jaringan pertama itu menyemarakkan semangat pemain Melaka untuk menggandakan asakan bagi memburu jaringan lebih besar namun peluang yang hadir pada minit ke- 19 menerusi Sony Norde berjaya diselamatkan Rozaimie.

Tidak terhenti di situ, asakan bertali arus skuad Hang Tuah berterusan menerusi rangkaian Norde, Ott, S Kumahraan dan Andriano turut memberi tekanan hebat buat pertahanan pelawat yang lebih banyak bertahan.

Bagaimanapun, deretan peluang menerusi Adriano pada minit ke-27 Gioavane m- 29 , Norde m-30, Kumahraan m-35 dan Khairul Anwar Shahrudin m-39 gagal merobek gawang lawan walaupun peluang terhidang sepatutnya mampu menambah gol kedua.

Penguasaan penuh anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan pada 45 minit pertama jelas memerangkap Sabah yang gagal mengimbangi perlawanan terutama tiada percubaan bahaya ke gawang tuan rumah.

Babak kedua Melaka terus menampilkan kerakusan memburu tambahan jaringan dengan melakukan percubaan bahaya bagaimana percubaan pada awal babak tidak membuahkan hasil.

Sebaliknya Sabah dilihat lebih agresif untuk cuba menekan tuan rumah selepas hambar pada episod pertama namun usaha mereka juga gagal memecah kebuntuan selepas sepakan percuma Taeasu Park pada minit ke 71 tinggi melepasi palang gol.

Bagaimanapun, lambakan peluang keemasan yang hadir buat Melaka akhirnya berjaya diterjemahkan dengan jaringan kedua mereka hasil tolakan Norde (m-78) selepas menerima hantaran Andriano.

Sokongan hampir 7,000 penyokong setia pasukan tuan rumah yang hadir turut menyuntik kesungguhan Melaka untuk mara ke separuh akhir walaupun lawan mencipta gol saguhati pada minit ke-90 menerusi sepakan penalti menerusi Risto Mitrevski.

Kejayaan itu, menyamai pencapaian Melaka yang mara ke suku akhir Piala Malaysia pada 1983 yang ketika itu dibarisi Datuk Soh Chin Ann, Wong Kou Fou, Ramli Junit, Rahim Abdullah,Hashim Marman, Lim Chuan Chin dan Akop Itam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 11:32 PM