BEKAS jurulatih kelab T-Team, Steinbruckner dilantik sebagai Pengarah Teknikal TFC Sdn Bhd musim ini. FOTO Ihsan TFC
BEKAS jurulatih kelab T-Team, Steinbruckner dilantik sebagai Pengarah Teknikal TFC Sdn Bhd musim ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengumumkan jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner dilantik sebagai Pengarah Teknikal yang baharu kelab itu bermula musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, bekas jurulatih pasukan dari Terengganu, T-Team itu akan menerajui kesemua struktur pasukan bawah pengurusan kelab itu.

"Selepas sekian lama menanti dengan pelbagai kesukaran, kami mengumumkan jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner dipilih sebagai Pengarah Teknikal TFC Sdn Bhd yang baharu bermula musim ini.

"Pemilihan jurulatih itu dilihat mampu melonjakkan lagi prestasi pemain dan pasukan kerana beliau sememangnya sudah tidak asing lagi di negeri ini kerana pernah membimbing pasukan T-Team sebelum ini.

"Kita harapkan dengan kehadiran beliau dan ditambah kerjasama bersama barisan jurulatih tempatan, skuad dari Terengganu mampu mencapai impian dan sasaran yang ditetapkan.

"Dengan kehadiran beliau juga yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa, kita turut merancang untuk mengadakan kerjasama dengan kelab di luar negara termasuk kemungkinan akan menghantar pemain kita yang berbakat berlatih dengan kelab di sana.

"Ini penting kepada pemain sebagai pendedahan kepada mereka untuk meningkatkan lagi prestasi terutama beraksi dalam kejohanan lebih tinggi," katanya.

Bekas jurulatih T-Team musim 2015 itu kini sudah berada di bumi Terengganu dan bakal memulakan tugas secara rasmi tidak lama lagi.

Berdasarkan rekod, Steinbruckner, 56, memulakan kariernya sebagai pemain bersama kelab negaranya, Osijek pada tahun 1984 hingga 1992 sebelum berhijrah ke kelab Belisce juga dalam Liga Croatia.

Pemain yang beraksi di posisi tengah itu kemudian menamatkan kariernya sebagai pemain bersama kelab Singapore Armed Forces FC pada musim 1999 sebelum bergelar jurulatih bersama kelab dalam Liga Croatia, NK Osijek pada 2008.

Musim lalu bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim dilantik memegang jawatan Pengarah Teknikal TFC, bagaimanapun kontrak bekas jurulatih Terengganu itu tidak disambung atas faktor usia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 6:24 PM