PUSIC yang mempunyai iras wajah penyerang Real Madrid, Karim Benzema dijangka tiba esok. FOTO ihsan HSK Zrinjski Mostar
PUSIC yang mempunyai iras wajah penyerang Real Madrid, Karim Benzema dijangka tiba esok. FOTO ihsan HSK Zrinjski Mostar
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas pemain kebangsaan Croatia Bawah 20 Tahun (B-20), Damagoj Pusic hampir pasti menyarung jersi skuad Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain tengah bertahan berketinggian 1.90 meter (m) itu dijangka tiba di Kuala Terengganu esok bersama seorang lagi pemain kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang beraksi di posisi penyerang.

Menurut sumber TFC, pemain berusia 32 tahun itu menjadi pilihan pengendali baharu skuad Penyu kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner bagi memantapkan lagi jentera tengah pasukan selepas pemain import musim lalu, Manuel Ott memilih berpindah ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini.

"Insya-Allah jika tidak ada sebarang masalah, bekas pemain yang menyarung jersi kelab BSK Bijelo Brdo dalam Liga Croatia itu akan tiba di Kuala Terengganu pada Rabu bersama seorang lagi pemain Croatia, Ivan Mamut serta Tommy (Tomislav Steinbruckner).

"Bekas pemain kebangsaan Croatia B-20 itu akan beraksi di posisi tengah bersama pemain import kelahiran Bahrain, Habib Haroon selain pemain tempatan.

"Kita harapkan kehadiran pemain tengah bertahan itu mampu memantapkan lagi jentera tengah serta pertahanan pasukan lebih-lebih lagi TFC bakal beraksi di pentas Asia dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) selain Liga M," demikian menurut sumber.

Sebelum ini, Steinbruckner memaklumkan akan membawa masuk sekurang-kurangnya dua pemain kelahiran Croatia selepas Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd tidak menyambung kontrak empat pemain import musim lalu.

Berdasarkan rekod, Pusic yang juga bekas pemain skuad kebangsaan Croatia B-18 dan B-19 ibrjaya meledak tiga gol bersama bekas kelabnya menerusi 15 penampilan musim lalu.

Sepanjang kariernya bermula dengan kelab NK Osijek dalam Liga Croatia, pemain yang bakal memakai jersi nombor 8 itu sudah mengumpul 49 jaringan menerusi 268 penampilannya bersama lapan kelab sebelum ini.

Sementara itu bekas kelabnya itu, BSK Bijelo Brdo menyatakan Pusic bakal menyarung jersi pasukan TFC dalam Liga M musim ini.

Semalam TFC Sdn Bhd mengikat 'kereta kebal' dari Uzbekistan, Surdor Kulmatov selama setahun bagi menggantikan bekas pertahan musim lalu, Pape Diakite yang tidak disambung kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 2:42 PM