TOMISLAV Steinbruckner disebut bakal membimbing skuad TFC musim depan. FOTO TFC
TOMISLAV Steinbruckner disebut bakal membimbing skuad TFC musim depan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC menyambut baik jika Pengarah Teknikal Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner dilantik memegang jawatan ketua jurulatih skuad Penyu itu musim depan.

Kelab penyokong berkenaan menyifatkan jurulatih kelahiran Croatia itu adalah calon terbaik untuk mengisi jawatan berkenaan bagi menggantikan jurulatih musim ini, Nafuzi Zain yang tidak berhasrat untuk melanjutkan kontrak.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin menjelaskan, jika benar Steinbruckner menjadi pilihan utama pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, ia adalah pemilihan yang tepat dan sesuai dengan kesinambungan falsafah bolasepak TFC.

"Desas-desus yang bertiup kencang mengaitkan pengarah teknikal TFC bakal menjadi ketua jurulatih skuad itu adalah satu pilihan yang tepat memandangkan rekod sebelum ini beliau pernah membimbing pasukan kelab dari Terengganu, T-Team.

"Kami tahu sejarahnya, beliau juga bijak 'rekrut' pemain muda yang berbakat untuk diketengahkan dalam pasukan selain mampu merencana pasukan.

"Mungkin kehadiran beliau sedikit sebanyak bakal berlaku perubahan yang lebih positif dalam pasukan selain dapat mencungkil lebih ramai lagi bakat muda serta memberi satu fenomena baharu bolasepak TFC.

"Jadi kami kelab penyokong bersetuju jika jurulatih berusia 57 tahun itu dipilih membimbing skuad TFC, lagipun beliau sudah mengenali pemain kerana beliau sudah berada di bumi Terengganu sejak awal musim ini memegang jawatan pengarah teknikal TFC," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Mohd Isa menjelaskan, penyokong setia TFC meletakkan harapan yang tinggi agar jurulatih yang pernah membimbing T-Team musim 2015 itu mengadunkan pemain muda dan berpengalaman dalam pasukan untuk membentuk pasukan yang mantap.

"Jika benar Steinbruckner menjadi pilihan sebagai pengendali pasukan, beliau perlu menyenaraikan pemain muda dan senior selain tenaga import berkualiti memandangkan tahun depan bakal beraksi dalam kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) selain Liga Malaysia (Liga M).

"Beliau juga perlu memikirkan strategi baharu dalam pasukan bagi memastikan pencapaian tahun depan adalah lebih baik berbanding musim ini kerana sudah pasti kami dahagakan trofi selepas gagal di pentas final Piala FA dengan muncul naib juara," katanya.

Terdahulu TFC Sdn Bhd membayangkan Steinbruckner yang dilantik memegang jawatan pengarah teknikal TFC bermula Mac lalu bagi menggantikan bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim berkemungkinan besar bergelar ketua jurulatih TFC musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 2:02 PM