Rahmad Darmawan (tengah) pernah membimbing kelab dari Terengganu. FOTO File NSTP
Rahmad Darmawan (tengah) pernah membimbing kelab dari Terengganu. FOTO File NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas mengumumkan Nafuzi Zain kekal membimbing Terengganu FC (TFC) musim depan, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd bakal melantik Pengarah Teknikal yang baharu.

Namun siapa yang bakal mengisi kerusi itu belum diumumkan lagi kerana masih dalam peringkat rundingan dengan jurulatih berkenaan bagi membantu pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Musim ini, jawatan itu menjadi milik bekas jurulatih Harimau Malaya kelahiran Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim yang berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan selain pernah beraksi pada temasya Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tiga cadangan nama sudah diterima daripada pihak pengurusan kelab pada 2 Disember lalu untuk cadangan dilantik sebagai pengendali pasukan TFC.

"Daripada tiga nama berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd bersetuju untuk mengekalkan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih pasukan TFC manakala seorang lagi daripada tiga nama itu bakal lantik sebagai Pengarah Teknikal untuk membantu Nafuzi bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

"Kita sudah membuat keputusan, cuma kita dalam proses berunding dengannya, jika jurulatih itu bersetuju dengan tawaran yang kita berikan, kita akan umumkan dalam masa terdekat," katanya.

Selain Nafuzi, TFC Sdn Bhd sebelum ini turut mencadangkan dua lagi nama untuk membimbing skuad Penyu itu termasuk bekas pengendali T-Team kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner dan jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan.

Ketika ditanya mengenai kelewatan pihak pengurusan untuk mengumumkan nama ketua jurulatih, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, menafikannya sebaliknya menyatakan Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd dan pihak pengurusan TFC sudah mencuba yang terbaik dalam soal pemilihan ketua jurulatih.

"Tiada isu mengenai kelewatan mengumumkan ketua jurulatih, cuma terlewat hanya beberapa hari selepas kontrak Nafuzi berakhir pada hujung bulan lalu dan ia sepatutnya tidak menjadi isu," kata Wan Sukairi yang akui Nafuzi dan Pengarah Teknikal yang bakal dilantik nanti akan terikat dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan ditetapkan pihak kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 3:16 PM