Nasib Ten Hag masih samar
Nasib Ten Hag masih samar
AFP

London: Kemenangan yang mungkin dikecapi Manchester United pada final Piala FA menentang Manchester City bukanlah jaminan kepada pengurusnya Erik ten Hag untuk terus kekal memimpin pasukan itu.

Akhbar The Guardian di Britain mengatakan bahawa kelab Liga Perdana Inggeris itu memutuskan untuk mengambil langkah tegas itu selepas pasukan itu mengharungi musim yang buruk.

Jika pemerintahan dua tahun Ten Hag berakhir selepas pertembungan dengan City, pemergiannya akan mengimbau kenangan pengurus Belanda yang lain, Louis van Gaal, yang meninggalkan Old Trafford.

Van Gaal dipecat hanya dua hari selepas kemenangan final Piala FA United menentang Crystal Palace pada 2016.

United menamatkan kedudukan memalukan di tempat kelapan dalam saingan Liga Perdana musim ini iaitu antara kedudukan tercorot mereka sejak tahun 1990 dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan.

Ten Hag menjadi bahan spekulasi hebat mengenai masa depannya, beberapa bulan selepas bilionair Britain, Jim Ratcliffe, mengambil pegangan minoriti dalam kelab dan mengendalikan operasi pasukan.

United menegaskan tiada keputusan telah dibuat mengenai masa depan pengurus Belanda itu dan berkata siasatan penuh akan dilaksanakan selepas acara kemuncak pada hari Sabtu menentang juara Liga Perdana, yang sedang mengejar gelaran liga dan Piala FA berturut-turut kedua mereka.

Kelab itu dikaitkan dengan beberapa nama termasuk Thomas Tuchel, Mauricio Pochettino, pengurus England Gareth Southgate dan bos Ipswich Kieran McKenna, yang pernah melatih di Old Trafford

Bercakap sebelum laporan terbaru itu muncul, penjaga gol United Andre Onana berkata final itu adalah "motivasi tambahan" selepas musim yang dipenuhi kecederaan di mana banyak pemain bintang mereka gagal menunjukkan prestasi terbaik.

"Kami tewas dua kali menentang City (dalam Liga Perdana)," katanya.

"Kami tahu betapa bagusnya mereka. Pasukan terbaik pada masa ini. Semua hormat kami tetapi kami pergi ke sana untuk menang. Final."

Onana, yang juga bermain di bawah Ten Hag di Ajax, menyebelahi pengurusnya dengan menggambarkannya sebagai "individu bagus, jurulatih yang baik".

"Dari segi taktikal dia sangat bagus dan menunjukkannya musim lalu," kata pemain antarabangsa Cameroon itu.

"Saya tidak berada di sini musim lalu dan mereka berjaya berada di posisi empat pasukan teratas.

"Musim ini banyak perkara berlaku. Saya bukan di sini untuk menyebelahinya atau menyokong. Dia cukup dewasa untuk membela dirinya sendiri. Tetapi dia adalah orang yang baik, dia adalah jurulatih yang positif dan dari segi taktikal dia bagus.

"Jika dia mempunyai semua skuadnya mungkin ia akan berbeza. Musim ini sukar untuknya, untuk kami, untuk kelab, untuk peminat," kata Onan.

Perlawanan Sabtu ini menawarkan peluang kepada United untuk mendapatkan trofi menentang pesaing ketat mereka dan jalan untuk layak bersaing di Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 7:56 AM