STEINBRUCKNER (kiri) dikatakan antara calon yang bakal menjawat jawatan pengendali TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
STEINBRUCKNER (kiri) dikatakan antara calon yang bakal menjawat jawatan pengendali TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Tomislav Steinbruckner adalah calon utama untuk menjawat jawatan pengendali skuad TFC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun selain jurulatih kelahiran Croatia itu, puluhan permohonan diterima daripada jurulatih dalam dan luar negara untuk mengisi 'kerusi panas' itu selepas pengendali, Nafuzi Zain sah 'berpisah' dengan skuad gergasi Pantai Timur itu musim depan.

Menurut sumber TFC, setakat ini bekas pengendali skuad T-Team musim 2015 itu adalah calon nombor satu yang bakal diberi peluang untuk menggalas tugas membimbing skuad itu musim depan.

"Setakat ini jurulatih berusia 57 tahun itu yang bertindak sebagai Pengarah Teknikal TFC pada musim ini adalah antara calon yang bakal memikul tugas sebagai pengendali skuad Penyu musim depan.

"Bagaimanapun kita belum membuat keputusan muktamad lagi setakat ini kerana perlu memperhalusi secara lebih mendalam terlebih dahulu jurulatih kelahiran Croatia itu walaupun beliau pernah membimbing kelab dari Terengganu, T-Team tujuh tahun lalu.

"Lagipun banyak permohonan diterima daripada jurulatih dalam dan luar negara yang menyatakan minat untuk membimbing skuad TFC musim depan selepas jurulatih, Nafuzi menolak tawaran lanjutan kontrak bersama TFC.

"Jadi kita tunggu dan lihat, Insya-Allah kita akan membuat keputusan terbaik, lagipun TFC bakal beraksi dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan selain Liga M," jelas sumber itu.

Terdahulu kerusi ketua jurulatih TFC itu kosong pada musim depan selepas Nafuzi yang menjawat jawatan itu bermula 2020 mengumumkan tidak mahu menyambung kontrak bersama skuad itu walaupun berjaya membimbing skuad itu muncul naib juara Piala FA, menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua serta membawa skuad itu ke pentas Asia musim depan.

Selepas pengesahan Nafuzi untuk 'berpisah' dengan TFC, spekulasi bertiup kencang dalam kalangan peminat yang mengaitkan Steinbruckner bakal mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih TFC pada musim depan.

Namun sejauh mana kebenaran itu masih belum dipastikan lagi sehinggalah pengesahan rasmi yang bakal diumumkan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang dijangka pada bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 3:28 PM