Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Pemain muda T-Team mempamerkan kelas tersendiri apabila menumbangkan pasukan ‘abang’, Terengganu 3-1 dalam aksi persahabatan di padang tiruan Kompleks Sukan Gong Badak, kelmarin.

Pasukan The Titans yang mendapat sentuhan bekas jurulatih kebangsaan remaja Croatia, Tomislav Steinbruckner dilihat lebih menonjol berbanding Terengganu yang dibarisi pemain berpengalaman.

Kekalahan itu sedikit sebanyak memberi tamparan hebat kepada skuad Penyu yang berbelanja besar membentuk pasukan mengharungi Liga Super musim depan.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Syahrizan Mohd Zain berkata, pengendali baru T-Team itu sebenarnya dalam proses mengenali pemain kerana musim depan pasukan itu rata-rata dibarisi pemain muda.

Menurutnya, sekalipun turun tanpa kelibat awang import, aksi dipamerkan pemain tempatan memberi sedikit keyakinan Steinbruckner dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap.

“Saya begitu bangga dengan pemain muda dalam pasukan T-Team kerana mereka memiliki semangat juang tinggi. Perlawanan ini juga adalah yang pertama buat mereka sejak pasukan ini dibentuk.

“Saya yakin pengalaman Steinbruckner mampu membawa T-Team ke landasan yang terbaik musim depan,” katanya semalam.

Syahrizan berkata, pasukannya sedang mengatur beberapa perlawanan persahabatan membabitkan tiga pasukan iaitu, FELDA United, PKNS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tarikh ketiga-tiga perlawanan ini masih lagi di peringkat perbincangan. Buat masa sekarang pasukan ini sedang membentuk keserasian pemain baru dan lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 7:09 AM