STEINBRUCKNER ketika berganding bahu bersama Nafuzi merencana strategi  TFC.
STEINBRUCKNER ketika berganding bahu bersama Nafuzi merencana strategi TFC.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Sehari selepas bergelar pengendali baharu Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berikrar memacu Gergasi Pantai Timur itu berada pada tahap lebih baik musim depan.

Malah jurulatih kelahiran Croatia yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu berazam mengintai satu trofi kejayaan sebagai hadiah kepada peminat selepas gagal merangkul Piala FA musim ini sesudah tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final.

Pengalaman sebagai bekas pengendali kelab T-Team pada 2015 selain memegang jawatan Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim ini menjadi aset berharga buat jurulatih berusia 56 tahun itu membawa skuad ini 'terbang' lebih tinggi lagi pada musim 2023.

"Seperti jurulatih lain, sudah pasti saya juga ada perancangan dan sasaran tersendiri selain sasaran kelab, lebih-lebih lagi TFC pada musim ini melakar kejayaan begitu membanggakan dibawah kendalian Nafuzi Zain."

"Jadi impian saya mahu memastikan pencapaian pasukan ini lebih baik berbanding musim ini, tapi jika kita berjaya mengulangi beberapa keputusan sebagaimana musim ini dengan melangkah ke final Piala FA, ianya juga keputusan hebat.

"Namun saya sedar saingan pada musim depan tidak seperti tahun ini, ianya jelas berbeza, setiap pasukan akan bermain lebih banyak perlawanan kerana kelab dalam Liga Super akan bertambah berbanding hanya 12 pasukan pada musim ini selain cabaran di pentas Asia bakal menanti kami yang begitu teruja untuk beraksi dalam kancah itu.

"Situasi ini sudah pasti memerlukan persediaan lebih rapi dalam semua aspek termasuk pemain kerana cabarannya bakal berbeza, tapi falsafah saya hampir sama dengan bekas jurulatih TFC kerana kami mahukan penguasaan bola yang baik, hantaran pantas dan sempurna serta memberikan tekanan tinggi kepada pasukan lawan," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, petang semalam.

Ketika ditanya mengenai pemain tempatan dan import yang bakal membarisi skuad kendaliannya, Steinbruckner akui sedang berusaha dan merencana pasukan dengan latihan bakal bermula pada awal Januari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 9:58 PM