DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO Zuhainy Zulkiffli
DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Nama individu yang akan menjadi pembantu ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon akan diumumkan pada minggu depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, nama pembantu jurulatih itu akan diumumkan pada Selasa atau Rabu depan.

"Insya-Allah, pada hari Selasa atau Rabu ini akan diumumkan nama pembantu jurulatih tempatan itu.

"Pemilihan dibuat Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell dan diikuti Pan-Gon dan mereka ini adalah individu dalam FAM, jadi pemilihan mereka adalah keputusan FAM," katanya kepada media selepas merasmikan Padang Kopa Arena Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas sama ada Pan-Gon mampu ubah prestasi skuad kebangsaan, Hamidin berkata, pihaknya akan berusaha untuk lebih berjaya daripada sebelum ini.

"Kita nak berubah, kalau terlalu negatif tak boleh maju.

"Jadi apa yang boleh saya kata pada ketika ini, kita akan lebih berjaya daripada sebelum ini," katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan FAM sudah menyenarai pendek dua nama jurulatih tempatan sebagai pembantu Kim Pan-Gon.

Namun Ketua Jurulatih baharu itu mahu berjumpa dengan tujuh jurulatih yang disenaraikan dalam pemilihan berkenaan.

Bekas jurulatih pasukan Hong Kong itu memaklumkan pertemuan itu akan dilakukan secara peribadi pada minggu depan.

Antara jurulatih tempatan yang berminat bagi menjadi pembantu kepada Pan-Gon adalah bekas pengendali Kedah Darul Aman dan Kelantan, Azraai Khor Abdullah, bekas ketua jurulatih Melaka United dan Selangor, Zainal Abidin Hassan, jurulatih Sarawak United, E Elavarasan, Wan Rohaimi, Firdaus Tan Abdul Aziz, Wan Mustafa dan Ismail Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 12:40 PM