PAN-gon jurulatih baharu Harimau Malaya.
PAN-gon jurulatih baharu Harimau Malaya.
Firdaus Hashim


Sepang: Pencarian pengendali tempatan bagi membantu ketua jurulatih skuad Harimau Malaya kini menuju ke fasa akhir apabila dua calon akhir sudah dimuktamadkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Nama dua calon itu kemudiannya akan diserahkan kepada Kim Pan-gon yang dijangka tiba di sini dari Korea Selatan minggu depan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, beliau dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell baharu saja selesai menemuduga enam calon untuk dilantik sebagai penolong jurulatih kepada Pan-gon.

Katanya, daripada enam calon berpengalaman itu, pihaknya sudah membuat saringan dengan kini hanya tinggal dua calon.

"Dua calon sudah disenarai pendek selepas selesai saringan dilakukan menerusi temuduga yang dibuat oleh saya yang mewakili bahagian pentadbiran dan O'Donell bagi aspek teknikal.

"Dua jurulatih ini dikenal pasti menepati kriteria yang ditetapkan dan dipercayai boleh bekerjasama baik dengan Pan-gon. Namun, segalanya kita akan serahkan kepada Pan-gon untuk buat keputusan apabila tiba di Malaysia nanti," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan MAB, di sini, hari ini.

Ketika ini, terdapat beberapa nama disebut-sebut bakal membantu Pan-gon antaranya jurulatih Sarawak United, E Elavarasan, bekas jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, bekas pengendali Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah serta Nidzam Jamil yang menjadi penolong jurulatih di Selangor FC.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengakui pihaknya tidak ada masalah untuk 'menebus kontrak' sekiranya pilihan Pan-gon nanti masih memiliki ikatan kontrak dengan majikan masing-masing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Jika mereka masih ada kontrak, kita akan berusaha untuk melakukan rundingan. Pan-gon mahukan pembantu yang boleh membantunya menilai barisan pemain tempatan yang beraksi dalam kempen Liga M," katanya.

Untuk rekod, selain penolong jurulatih tempatan, Pan-gon akan turut membawa empat lagi jurulatih untuk membantunya iaitu Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 9:54 PM