HAMIDIN meninjau sesi latihan Harimau Malaya semalam. FOTO FAM
HAMIDIN meninjau sesi latihan Harimau Malaya semalam. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persaingan sihat dalam skuad Harimau Malaya nyata mengujakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang sempat meninjau sesi latihan yang berlangsung di Wisma FAM, di sini, semalam.

Jelas Hamidin, rata-rata pemain cukup bersemangat untuk memikat perhatian pengendali negara, Kim Pan-gon yang dalam misi mempersiapkan pasukan di Kelayakan Piala Asia 2023 di halaman sendiri bulan depan.

Katanya, masing-masing menunjukan komitmen tinggi dalam latihan sekali gus memudahkan Pan-gon untuk merangka strategi terbaik.

"Berdasarkan pemantauan hari ini (semalam) saya lihat pemain begitu bersemangat dan komited untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

"Dilihat juga setiap pemain mahu membuktikan sesuatu dalam memastikan mereka berada dalam radar Kim Pan-gon," kata Hamidin.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E bersamaTurkmenistan, Bahrain dan Bangladesh di kelayakan itu nanti, turut bakal diuji dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1.

Dua pasukan iaitu Brunei dan Hong Kong akan mengasah taring skuad negara pada Jumaat dan Rabu depan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ujar Hamidin lagi, selepas dua tahun skuad Harimau Malaya tidak beraksi di halaman sendiri ekoran pandemik Covid-19, sudah pasti suasana gegak gempita dirindui seluruh peminat tanahair yang bersedia membanjiri Bukit Jalil demi memberi sokongan kepada pasukan negara.

"Perlawanan ini, persahabatan mahupun pertembungan Kelayakan Piala Asia penting, bukan sahaja ia dinantikan penyokong yang sudah sekian lama rindukan aksi Harimau Malaya di laman sendiri tetapi ia adalah pencetus kepada sentuhan pertama jurulatih Kim Pan-gon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 6:17 PM