KIM Pan Gon. FOTO Bernama
KIM Pan Gon. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Makanan Malaysia mungkin seperti nasi lemak, gulai tempoyak, bubur lambuk dan pelbagai jenis lagi juadah tempatan bakal dirasai pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya dalam memahami budaya negara ini.

Jelas jurulatih dari Korea Selatan itu, menghormati budaya sesebuah negara yang beliau berkhidmat adalah sangat penting bagi memahami suasana dan senario tempatan.

Katanya, dengan cara sedemikian beliau akan cepat mempelajari budaya tempatan sekali gus bakal memudahkan tugasnya ketika melatih pasukan negara kelak.

"Saya mahu makan makanan Malaysia juga dan cuba untuk belajar budaya Malaysia kerana pada saya ke mana saya pergi, saya hormati orang tempatan.

"Saya perlukan kerjasama yang baik dengan bola sepak tempatan dan dengan cara itu, saya boleh berjaya," katanya yang dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan bulan lalu susulan kegagalan di Piala AFF di Singapura pada Disember tahun lalu.

Pan-gon, 53, diberikan kontrak dua tahun dengan pilihan akan disambung lagi sekiranya berjaya meningkatkan persembahan skuad Harimau Malaya nyata tidak menunggu lama apabila sudah memulakan tugasnya semalam.

Beliau serta empat penolong jurulatih yang diperkenalkan Rabu lalu tidak membuang masa apabila terus berkunjung ke Johor Bharu untuk lawatan kerja.

Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan pertama dilawat oleh bekas pengendali Hong Kong itu bersama-sama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Dalam lawatan itu, Pan-gon melawat Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, Johor Bahru dan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, sebelum beramah mesra dengan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Ibu Pejabat JDT.

Untuk rekod, ujian pertama Pan-gon adalah dalam jendela aksi persahabatan pada Mac ini di mana skuad Harimau Malaya bakal mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Filipina dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 2:10 PM