SKUAD Harimau Malaya meraikan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh untuk layak ke Piala Asia 2023. FOTO AIZUDDIN SAAD
SKUAD Harimau Malaya meraikan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh untuk layak ke Piala Asia 2023. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyerahkan kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk mengadakan kem latihan di luar negara dalam usaha memantapkan lagi skuad bimbingannya.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya tidak mahu mencampuri perancangan ditetapkan Pan-gon termasuklah jika beliau mahu mengadakan kem latihan di dalam negara saja.

Beliau berkata, setakat ini, Pan-gon belum membentangkan perancangan berkaitan persediaan skuad Harimau Malaya untuk mengharungi Piala Asia 2023, namun percaya jurulatih daripada Korea Selatan itu sudah menyusun strategi berkesan bagi memastikan skuad kebangsaan mampu bersaing dengan kuasa besar bola sepak Asia.

Malah, katanya, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut akan mengadakan perbincangan bagi memastikan Harimau Malaya mempunyai lebih masa untuk mengadakan persediaan kelak.

"Kita menyerahkan kepada Pan-gon untuk merencanakan persediaan bagi skuad Harimau Malaya dan FAM akan berusaha merealisasikan perancangan beliau itu.

"Pada masa sekarang, kita tidak boleh memutuskan mungkin mengadakan latihan di dalam atau luar negara. Namun perkara penting adalah skuad Harimau Malaya mempunyai tempoh persediaan mencukupi bagi mengharungi Piala Asia 2023.

"Malah, kita perlu melihat kepada perjalanan jadual Liga Malaysia kerana sudah tentu dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang sibuk dengan Piala Malaysia dan saingan liga, sekali gus mungkin akan ada beberapa kekangan kelak," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Harimau Malaya akan menggunakan tempoh kira-kira setahun untuk melakukan persiapan rapi bagi mengelak menjadi mangsa buli kepada pasukan besar di Piala Asia 2023.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan pihaknya akan berbincang dengan Pan-gon mengenai perancangan harus dilakukan dalam mempersiapkan skuad Harimau Malaya supaya lebih mantap.

Beliau berkata, persiapan itu termasuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lebih besar dan tidak lagi boleh menumpukan kepada lawan dari rantau Asia Tenggara.

Selain itu, terdapat cadangan supaya skuad kebangsaan cuba mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Eropah dan mengadakan kem latihan di luar negara sebagai persiapan ke Piala Asia tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 8:41 PM