PERCATURAN Ten Hag (kiri) dan Xavi jadi penentu pertarungan Manchester United dan Barcelona. FOTO Agensi
PERCATURAN Ten Hag (kiri) dan Xavi jadi penentu pertarungan Manchester United dan Barcelona. FOTO Agensi
AFP

Barcelona: Barcelona akan menanti Manchester United pada perlawanan play-off Liga Europa, awal pagi Jumaat dan ia mengimbas dua final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara dua kelab gergasi itu.

Kelab Catalan itu tersingkir di peringkat kumpulan UCL manakala Manchester United menduduki tempat kedua peringkat kumpulan Liga Europa, sekali gus menyajikan pertembungan epik itu.

Pertarungan dijangka menarik kerana kedua-dua kelab itu semakin meningkat dan mempamerkan prestasi terbaik di benua Eropah.

Barcelona dan Manchester United semakin meningkat di bawah kendalian Xavi Hernandez dan Erik ten Hag serta menyasarkan untuk kembali ke kelompok kelab elit Eropah.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada 2019 apabila United yang melalui zaman suram selepas era Sir Alex Ferguson dilihat kembali bertenaga manakala Barcelona pula semakin menampakkan kebangkitan.

Barca yang juga juara Eropah lima kali menang aksi suku akhir itu 4-0 secara agregat, tetapi satu-satunya pemain skuad lama yang masih kekal untuk berdepan United di Camp Nou adalah penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen.

Sejak itu, Barcelona melalui rombakan pasukan dan perbelanjaan besar pada musim panas lalu dikritik hebat apabila mereka terpaksa beraksi di Liga Europa.

Mereka menandatangani penyerang berbisa, Robert Lewandowski manakala gandingan Jules Kounde dan Andreas Christensen dikenali sebagai antara benteng pertahanan paling bagus di Eropah.

Barcelona hanya melepaskan tujuh gol dalam kempen La Liga musim ini termasuk 16 kali tanpa bolos daripada 21 perlawanan dan melalui 16 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan.

Xavi yang mengemudi jentera tengah Barcelona ketika menang di final UCL 2009 dan 2011 ke atas United yang dikenali Ferguson, mengembalikan semua bekas pasukannya ke landasan kegemilangan.

Barcelona menundukkan Real Madrid untuk menjulang Piala Super Sepanyol, bulan lalu dan akan bertemu sekali lagi di separuh akhir Copa del Rey.

Dia mula membimbing pasukan pada November lalu dan mengemudi pasukan yang berada di kelompok pertengahan itu menamatkan saingan di tempat kedua liga.

Barcelona tidak menang gelaran La Liga sejak 2019, tetapi kini memiliki kelebihan 11 mata di tangga teratas liga berbanding Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 11:16 AM