XAVI akan meninggalkan Barcelona hujung musim ini. FOTO AFP
XAVI akan meninggalkan Barcelona hujung musim ini. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Xavi Hernandez meninggalkan Barcelona pada 2015 selepas menjulang treble tetapi harapannya untuk meraih kejayaan sama apabila bakal berpisah buat kali kedua selaku jurulatih tidak kesampaian.

Harapan terakhir bagi bekas pemain tengah itu untuk menjulang trofi musim ini ialah di Liga Juara-Juara, dengan pasukan Catalan itu akan berkunjung ke Napoli dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir, awal pagi Khamis ini.

Selepas pasukannya ditewaskan Real Madrid dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol dan tersingkir daripada saingan Copa del Rey, Xavi berkata, dia akan melepaskan jawatannya itu pada penghujung musim.

Lapan mata di belakang pendahulu, Madrid dalam La Liga, nampaknya hanya Liga Juara-Juara mampu memberi peluang kepada Xavi serta anak buahnya untuk menjulang trofi.

Bagaimanapun, perjuangan Barcelona di saingan beprestij itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak memihak kepada mereka dengan kekalahan memalukan di tangan Roma, Liverpool dan Bayern Munich masih sukar untuk dilupakan.

Sepanjang dua musim lalu, Barcelona gagal untuk melepasi peringkat kumpulan.

Kali terakhir pasukan Catalan itu berjaya memenangi Liga Juara-Juara adalah pada 2015 iaitu ketika Xavi menjulang trofi.

Kemudian pada usia 35 tahun, Xavi meninggalkan Barcelona selepas 17 musim sambil mengharapkan pasukan yang diperkuat oleh Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez boleh terus mendominasi bola sepak Eropah untuk tahun-tahun akan datang.

Sebaliknya, impian itu lebur kerana pelbagai faktor, antaranya beban salah urus serta kenaikan gaji dan Barcelona semakin merosot sejak itu, dengan Xavi dipanggil untuk menyelamatkan pasukan sebagai jurulatih pada November 2021.

Meskipun beliau mengetuai Barcelona memenangi La Liga musim lalu, ia masih belum cukup meyakinkan sebelum Xavi mengumumkan untuk mengundur diri.

Sejak pengumumannya itu, Barcelona sudah memenangi tiga perlawanan liga dan seri sekali, walaupun persembahan mereka tidak memberangsangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 8:36 AM