XAVI memberikan arahan kepada pemainnya, Nico ketika menentang Betis.
XAVI memberikan arahan kepada pemainnya, Nico ketika menentang Betis.
Agensi

Barcelona: Xavi Hernandez percaya pasukannya mampu menewaskan Bayern Munich dalam aksi getir Liga Juara-Juara Khamis ini walaupun dimalukan Real Betis Sabtu lalu.

Jaringan Juanmi pada babak kedua membolehkan Betis menang 1-0 di Camp Nou sekali gus kekalahan pertama Xavi sejak menggantikan Ronald Koeman bulan lalu.

Barca berdepan misi sukar apabila berkunjung ke Munich dengan kemenangan mengesahkan mereka ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara tetapi keputusan kalah atau seri akan menyingkirkan mereka ke Liga Europa jika Benfica menewaskan Dynamo Kiev.

"Pasukan ini berpeluang menang di Munich," kata Xavi semalam.

"Itu objektif kami. Kami bergantung kepada diri kami sendiri. Kami akan beraksi di salah satu venue paling sukar di dunia tetapi akan memberikan segalanya."

Kekalahan pada Sabtu lalu menyaksikan Barca ketinggalan tujuh mata di belakang Betis yang menduduki tangga ketiga La Liga.

Ia kekalahan keenam kelab Catalan itu dalam semua kejohanan musim ini selain tewas buat kali ketiga di Camp Nou tetapi yang pertama di bawah kendalian Xavi. Sebelum itu mereka menewaskan Espanyol dan Villarreal dan seri dengan Benfica dalam tiga aksi pertama kendaliannya.

Xavi juga lega menjelang kunjungan ke Jerman selepas Ousmane Dembele yang masuk daripada bangku simpanan mempamerkan aksi cemerlang pada babak kedua.

"Dia pemain hebat yang mencetuskan kegembiraan," kata Xavi mengenai Dembele yang masih belum menandatangani kontrak lanjutan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 10:48 AM