Mikel Arteta. FOTO EPA
Mikel Arteta. FOTO EPA
AFP

Liverpool: Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta menyelar aksi pemainnya selepas Everton meledak dua kali dalam tempoh 11 minit terakhir untuk mengatasi The Gunners, 2-1 pagi ini.

Skuad kendalian Arteta melepaskan peluang untuk menyertai kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mensia-siakan kelebihan mendahului jaringan di Manchester United dan Goodison Park dalam tempoh lima hari.

Everton berdepan kemarau kemenangan dalam lapan perlawanan sebelum ini kelihatan seperti akan meneruskan kekecewaan mereka apabila dua gol Richarlison dibatalkan kerana ofsaid.

Arsenal mendahului permainan menerusi Martin Odegaard namun Richarlison memastikan jaringan ketiganya diterima sebelum Demarai Gray meledak gol kemenangan Everton dalam masa kecederaan.

"Saya tak suka aksi pada separuh masa pertama." kata Arteta.

"Tiada ancaman, serangan, amat berbeza dengan apa yang kami cuba lakukan. Ia tidak cukup bagus.

"Apa yang saya mahukan adalah lebih lagi daripada pasukan saya. Hari ini kami mempunyai perlawanan yang dikawal dan kami perlu mencari jalan untuk menang.

"Dalam Liga Perdana apabila ada ruang anda perlu menamatkannya. Apabila ada peluang keemasan anda perlu meletakkannya di dalam gawang."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:41 AM