VARDY (kanan) menjaringkan gol untuk Leicester. FOTO/AFP
VARDY (kanan) menjaringkan gol untuk Leicester. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Jamie Vardy memberikan permulaan sempurna buat Claude Puel sebagai pengendali Leicester awal pagi tadi apabila bekas juara Liga Perdana Inggeris itu kembali mempamerkan corak serangan balas berbisa ketika menewaskan Everton yang tiada pengurus, 2-0.

Seperti ketika memenangi kejuaraan pada musim 2015-16, Leicester mencetus masalah buat pasukan pelawat sejak awal permainan, mempamerkan rentak permainan pantas dengan Demarai Gray memaksa skuad Merseyside bekerja keras pada penampilan keduanya dalam kesebelasan utama musim ini.

PUEL (kiri) sedang memberikan arahan kepada anak buahnya. FOTO/AFP
PUEL (kiri) sedang memberikan arahan kepada anak buahnya. FOTO/AFP

Walaupun mengharungi permulaan musim yang buruk sehingga menyebabkan Craig Shakespeare dipecat, kemenangan ketiga Leicester dalam kempen kali ini melonjakkan mereka ke tangga 11 liga manakala Everton, yang kehilangan Ronald Koeman awal minggu ini, terperosok ke zon penyingkiran.

Pasukan tuan rumah mendahului permainan pada minit ke-18 selepas Gray, yang mengutip bola di kawasan sendiri, menggelecek beberapa pemain sebelum menghantar bola kepada Riyad Mahrez di sayap kanan.

UNSWORTH (kiri) bersalaman dengan Wayne Rooney. FOTO/AFP
UNSWORTH (kiri) bersalaman dengan Wayne Rooney. FOTO/AFP

Mahrez kemudian melakukan hantaran lintang dan Vardy memanfaatkannya untuk gol pertama Leicester. 11 minit kemudian, percubaan Gray terkena Jonjoe Kenny dan menewaskan Jordan Pickford di gawang sendiri, namun Gray dikira sebagai penjaring.

Pengendali sementara Everton, David Unsworth membuat dua pertukaran ketika rehat, memasukkan Oumar Niasse dan Beni Baningime bagi menggantikan Aaron Lennon dan Kevin Mirallas, tetapi tidak memadai untuk menembusi gawang Leicester.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 9:41 AM