PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel (kanan) dan pemainnya, Mateo Kovacic meninggalkan padang dalam keadaan kecewa selepas tewas 0-1 kepada Everton. FOTO REUTERS
PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel (kanan) dan pemainnya, Mateo Kovacic meninggalkan padang dalam keadaan kecewa selepas tewas 0-1 kepada Everton. FOTO REUTERS
Reuters

London: Chelsea mungkin tercicir daripada kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris jika meneruskan aksi tidak menentu dalam baki empat perlawanan terakhir, kata pengurus, Thomas Tuchel selepas mereka tewas 0-1 di Everton, semalam.

Jaringan kemenangan penyerang Everton, Richarlison pada minit ke-46 menyaksikan Chelsea yang kini menduduki tempat ketiga liga, hanya mengumpul empat mata daripada empat aksi terakhir.

Mereka kini tiga mata di depan Arsenal dan lima mata di atas Tottenham Hotspur dalam perebutan slot automatik ke Liga Juara-Juara Eropah.

"Saya sudah mengatakan beberapa minggu lalu bahawa kami tidak merasa selamat...jika mahu berada di tangga kedua atau paling kurang empat terbaik, empat mata daripada empat perlawanan terakhir memang tidak cukup," kata Tuchel.

"Kami perlu menjaga diri sendiri. Pada ketika ini, kami tidak mendapat mata walaupun bermain dengan baik, kalah walaupun beraksi baik sedangkan kami sepatutnya dapat lebih lagi. Ini nasib buruk."

Richarlison menjaringkan gol selepas kesilapan dilakukan kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta dan Tuchel berkata, pasukannya membayar harga mahal akibat kesilapan besar dalam beberapa perlawanan terakhir.

"Kami tahu apa yang perlu dihadapi dalam perlawanan terakhir, kami bermasalah untuk mengelak daripada dibolosi," kata Tuchel.

"Dalam empat perlawanan terakhir, kami hanya menang sekali ke atas West Ham United dan saya cukup kecewa.

"Apa boleh saya buat? Bola bergerak bebas, dibolosi di tempat lawan, perkara terburuk yang berlaku. Ia berlaku beberapa kali. Kami gagal bermain tanpa membuat silap dan itu sebabnya sukar mendapat keputusan baik."

Chelsea akan melayan kunjungan Wanderers pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 3:44 PM