TOSUN (kiri) dan Sigurdsson kecewa menyaksikan peluang disia-siakan menentang Arsenal di Goodison Park. — FOTO AFP
TOSUN (kiri) dan Sigurdsson kecewa menyaksikan peluang disia-siakan menentang Arsenal di Goodison Park. — FOTO AFP
Reuters

EVERTON diikat 0-0 di laman sendiri oleh Arsenal malam ini pada aksi hambar Liga Perdana Inggeris, ketika kedua-dua kelab menamakan pengurus baharu dalam usaha mengubah nasib mereka.

Carlo Ancelotti, yang dinamakan sebagai pengurus baharu Everton tidak sampai sejam sebelum sepak mula, mendapat bayangan pertama Toffees dari tempat duduk pengarah begitu juga ketua jurulatih baharu Arsenal, Mikel Arteta yang dilantik oleh Gunners semalam.

Pertembungan antara dua pengendali sementara - Duncan Ferguson dari Everton dan Freddie Ljungberg (Arsenal) - gagal menghasilkan permainan memukau ketika Everton menguasai babak pertama.

Percubaan Gylfi Sigurdsson terkena jaring tepi gol susulan sepakan percuma dan penyerang Cenk Tosun gagal menyudahkan hantaran silang leret Tom Davies ketika tuan rumah sering mengasak kubu lawan.

AUBAMEYANG (kanan) melepasi kawalan pemain Everton, Mason Holgate. — FOTO Reuters
AUBAMEYANG (kanan) melepasi kawalan pemain Everton, Mason Holgate. — FOTO Reuters

Penjaga gol Everton, Jordan Pickford tampil penyelamat menafikan Pierre-Emerick Aubameyang dari jarak dekat sejurus selepas rehat sebelum pergelutan di depan pintu gol hampir menyaksikan gol sendiri di benteng Arsenal.

Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada lewat aksi dengan Arsenal memenuhi benteng mereka dengan pemain bagi menangani hantaran silang Everton ke dalam kawasan penalti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 11:11 PM