LOUIS van Gaal dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan Belanda buat kali ketiga. FOTO AFP
LOUIS van Gaal dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan Belanda buat kali ketiga. FOTO AFP
AFP

The Hague: Louis van Gaal kembali sebagai jurulatih Belanda buat kali ketiga dan akan membimbing pasukan itu ke Piala Dunia 2022 di Qatar, kata Persekutuan Bola Sepak Belanda (KNVB), hari ini.

Pelantikan pengendali berusia 69 tahun dikenali sebagai 'Iron Tulip' itu dilakukan susulan peletakan jawatan Frank de Boer selepas Belanda tersingkir di pusingan 16 terbaik di Euro 2020, Jun lalu.

Van Gaal yang memikul tugas besar kali terakhir ketika bersama Manchester United, sebelum ini mengemudi Oranje antara 2000-2002 dan 2012-2014 apabila mereka menduduki tempat ketiga di Piala Dunia di Brazil.

"Bola sepak Belanda sentiasa dekat di hati saya dan melatih skuad kebangsaan sentiasa menjadi keutamaan untuk memajukan bola sepak kita.

"Saya menganggap satu penghormatan apabila dilantik jurulatih skuad kebangsaan Belanda sekali lagi," kata van Gaal menerusi kenyataan disiarkan KNVB.

"Masa agak singkat untuk perlawanan kelayakan berikutnya yang penting untuk layak ke Piala Dunia.

"Fokus sekarang adalah menuntut komitmen 100 peratus pemain dan juga penampilan. Lagipun, saya memang dilantik untuk tujuan itu."

KNVB menyatakan, barisan teknikalnya akan membabitkan pembantu, Danny Blind dan Henk Fraser serta jurulatih penjaga gol, Frans Hoek.

Persekutuan itu menyatakan, mereka mencari jurulatih dengan kualiti luar biasa untuk merubah nasib pasukan dalam tempoh persediaan terhad untuk mara ke Piala Dunia 2022.

"Berbekalkan pengalaman dan rekod lampaunya di peringkat tertinggi, kami percaya mendapat kualiti itu menerusi Louis van Gaal," kata Pengarah Bola Sepak KNVB, Nico-Jan Hoogma.

"Perhubungan dilakukan secepat mungkin dan kami kerap bercakap sejak itu. Kami gembira Louis mengambil tugasan itu."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 9:28 PM