JURULATIH Belanda, Frank de Boer (kiri) bercakap dengan pemainnya ketika perlawanan pusingan kedua Euro 2020 menentang Republik Czech, sebelum mereka tewas 0-2. FOTO AFP
JURULATIH Belanda, Frank de Boer (kiri) bercakap dengan pemainnya ketika perlawanan pusingan kedua Euro 2020 menentang Republik Czech, sebelum mereka tewas 0-2. FOTO AFP
AFP

The Hague: Jurulatih Belanda, Frank de Boer meletak jawatan, hari ini selepas pasukannya tersingkir di pusingan kedua Euro 2020 di tangan Republik Czech, Ahad lalu.

Keputusan De Boer itu menjelma pada ketika spekulasi mengenai masa depannya hangat diperkatakan selepas kekalahan 0-2 di Budapest.

"Saya memutuskan untuk tidak menyambung tugas sebagai jurulatih skuad kebangsaan. Sasaran gagal dicapai, itu memang jelas," kata De Boer, 51, menerusi kenyataan disiarkan Persekutuan Bola Sepak Belanda (KNVB).

De Boer berkata, adalah satu penghormatan apabila dia dilantik pada 2020, tetapi dia sedar tekanan yang dihadapinya sejak pelantikan itu.

"Tekanan itu hanya memuncak sekarang dan ia tidak baik untuk kesihatan saya serta skuad menjelang persiapan skuad bola sepak Belanda di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022."

KNVB berkata, kontrak De Boer turut menyatakan pasukan itu patut mara sekurang-kurangnya ke suku akhir dan kontrak itu tidak akan disambung.

"Keputusan untuk kedua-dua pihak berpisah sudah dibuat," tambah KNVB di ibu pejabatnya di Zeist.

Tempoh singkat De Boer bersama skuad Belanda yang muncul juara Eropah pada 1988, tetapi gagal menyerlah sejak beberapa tahun kebelakangan, bermakna dia tidak akan bersama pasukan pada aksi kelayakan Piala Dunia menentang Norway pada 1 September.

"Walaupun Frank bekerja keras, pasukan gagal mara ke suku akhir.

"Kami harapkan pencapaian lebih baik di Euro dan keputusan Frank berbeza dengan apa yang kami harapkan," kata Pengarah KNVB, Nico-Jan Hoogma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 11:09 PM