TAKTIKAL Scaloni (kanan) dan Van Gaal akan menjadi pertaruhan Argentina serta Belanda di suku akhir, awal pagi Sabtu. FOTO AFP
TAKTIKAL Scaloni (kanan) dan Van Gaal akan menjadi pertaruhan Argentina serta Belanda di suku akhir, awal pagi Sabtu. FOTO AFP
AFP

Doha: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni, 44, adalah jurulatih termuda di Piala Dunia, tetapi dia mahu membuktikan kekurangan itu bukan halangan untuk mengatasi Louis van Gaal dan Belanda di suku akhir, awal pagi Sabtu ini.

"Saya bermain di Deportivo La Coruna ketika dia menjadi jurulatih Barcelona dan amat dihormati.

"Saya bangga untuk menentangnya, semua orang tahu apa yang dilakukannya kepada bola sepak," kata Scaloni mengenai Van Gaal, 71, yang juga jurulatih paling tua di Piala Dunia kali ini.

Malah, Scaloni bersama skuad Deportivo La Coruna yang memintas Van Gaal dan Barcelona untuk muncul juara Liga Sepanyol pada 2000.

Selepas kekalahan mengejut 1-2 kepada Arab Saudi, baru-baru ini, penolong jurulatih, Pablo Aimar kelihatan menangis ketika menang ke atas Mexico, tetapi Scaloni berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Anda perlu menggunakan logik akal, ini hanya perlawanan bola sepak.

"Saya menerima mesej daripada abang saya menyatakan dia menangis dan ia tidak boleh jadi begitu. Ia seperti sesuatu yang lebih daripada perlawanan bola sepak.

"Pemain harus faham ini adalah bola sepak. Jika tidak, situasi akan menjadi begitu sepanjang masa.

"Sukar untuk orang faham, matahari akan tetap muncul sama ada tewas atau menang. Apa yang penting adalah bagaimana anda melakukannya."

Pencapaian Scaloni sebagai jurulatih terlalu jauh jika dibandingkan dengan Van Gaal yang menghabiskan hampir empat dekad menguruskan kelab ternama di Eropah, tetapi mengharapkan keputusan berbeza apabila dua pasukan itu bertemu di separuh akhir Piala Dunia, lapan tahun lalu.

Argentina menewaskan Belanda yang dibimbing Van Gaal menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 0-0 di Sao Paulo, tetapi tewas di final di tangan Jerman.

"Pasukan Belanda kali ini tidak seperti pasukan terdahulu, tetapi mereka jelas mengenai apa yang boleh dilakukan.

"Ia akan menjadi pertarungan hebat bagi dua pasukan bersejarah ini. Satu pasukan akan tersingkir dan kami harap mampu terus mara."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 8:16 PM