Beberapa bekas pemain kendalian Louis van Gaal masih menaruh dendam terhadapnya, malah Rivaldo turut mendakwa bekas pengurus ketika di Barcelona itu cemburukannya.

Wartawan Belanda, Hugo Borst, yang mengenali Van Gaal lebih daripada 20 tahun percaya kumpulan pemain itu membabitkan Clarence Seedorf dan Luca Toni turut berdendam dengan pengurus yang ada kalanya lantang dan sering mencetuskan kontroversi.

Borst yang menulis biografi terbaru Van Gaal, bertajuk 'O, Louis' yang diterbit­kan dalam Bahasa Inggeris semalam mendakwa pengurus Manchester United bekerja dengan lebih daripada 1,000 pemain sepanjang kariernya dan menganggap enam pemain yang tidak berpuas hati hanyalah 'setitis air di lautan'.

Mereka yang dimaksud­kan adalah bekas pemain Ajax, Seedorf dan Winston Bogarde dan dua pemain Brazil yang pernah bermain di bawah kendaliannya di Barcelona iaitu Rivaldo dan Giovanni serta dua pemain dijualnya ketika di Bayern-Luca Toni dan Lucio.

Seedorf dan Bogarde adalah pemain yang membawa pasukan Ajax menjuarai Liga Juara-Juara pada 1995 di bawah kendalian Van Gaal.

Namun Seedorf yang kemudiannya bermain bersama AC Milan dan Real Madrid, berkata: "Lelaki yang saya kenal yang menepati janji berubah menjadi begitu berbeza sama sekali kerana cara dia mengendalikan pemain membuatkan dia hilang kredibilitinya di mata saya."

Pada musim pertama beliau berada di Belanda, Van Gaal gagal membawa negaranya ke Piala Dunia 2002 dan Rivaldo berkata: "Dia cemburu dengan saya yang memenangi Piala Dunia sedangkan beliau langsung tidak layak."

Giovanni yang berada di Nou Camp ketika pengendali itu mula menjalankan tugas sebagai jurulatih di Belanda berkata: "Van Gaal tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak."

Lucio yang dijual oleh Van Gaal pada 2009 meninggalkan Bayern untuk menyertai Inter Milan. Dia menamatkan musim pertamanya di Itali dengan menjulang piala Liga Juara-Juara selepas menewaskan bekas pasukannya berkata: "Van Gaal menyakitkan hati saya lebih daripada orang lain dalam bola sepak."

Bagaimanapun Borst percaya Van Gaal mempunyai hubungan lebih baik dengan pemain baru dikendalikannya.

Borst dalam tulisannya menyatakan: "Saya tidak pasti sama ada 23 pemain dalam skuad Belanda pada 2014 akan lantang mengkritik Van Gaal seperti dilakukan Toni, Rivaldo, Lucio, Giovanni, Bogarde dan Seedorf."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:01 AM