PEMAIN tengah Brazil, Casemiro berlatih bersama rakan sepasukan menjelang final Copa America menentang Argentina. FOTO AFP
PEMAIN tengah Brazil, Casemiro berlatih bersama rakan sepasukan menjelang final Copa America menentang Argentina. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Rio de Janeiro yang terkesan teruk dengan Covid-19, hari ini, memberi kebenaran kepada ribuan penyokong memasuki Stadium Maracana untuk menyaksikan final Copa America antara Brazil dan Argentina, esok.

Pihak berkuasa bandar raya itu membenarkan 7,800 penonton iaitu 10 peratus daripada kapasiti stadium seramai 78,000 orang.

Ia akan menjadikannya dihadiri penonton di Copa America 2021, iaitu kejohanan bola sepak antarabangsa terbesar di Amerika Selatan.

Keputusan itu dibuat selepas penganjur menyediakan protokol operasi dan pentauliahan termasuk langkah melindungi kesihatan semua yang terbabit dengan mengelak penularan dan jangkitan Covid-19.

Mereka yang mahu menyaksikan perlawanan itu mesti mengemukakan ujian saringan negatif wabak itu dalam tempoh kurang 48 jam.

Sebaik masuk ke stadium, mereka perlu memastikan penjarakan fizikal.

Kejohanan dianjurkan Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) itu bermula di Brasilia pada 13 Jun, sekalipun penganjurannya di Brazil dikritik hebat kerana negara itu mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi akibat Covid-19 selepas Amerika Syarikat.

Pandemik itu menyebabkan 530,000 kematian di seluruh negara, termasuk 29,000 di Rio.

Kadar kematian di bandar raya itu adalah 432 daripada 100,000 orang, hampir sekali ganda 252/100,000 bagi seluruh negara.

Sekalipun dibantah ahli politik, rakyat, sebahagian pemain dan jurulatih, Brazil bersetuju menjadi tuan rumah selepas CONMEBOL menarik hak penganjur bersama, Argentina yang berdepan pandemik serta Colombia, yang berdepan protes anti kerajaan dan menyebabkan puluhan kematian.

Copa America dilangsungkan serentak dengan Euro 2020, yang diadakan di 11 stadium tuan rumah serta kehadiran penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 11:34 PM