BRAZIL juara Copa America 2019. FOTO Agensi
BRAZIL juara Copa America 2019. FOTO Agensi
Agensi

Asuncion: Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (Conmebol) mengesahkan Copa America 2021 akan diteruskan dengan Brazil mengambil alih tugas sebagai negara tuan rumah.

Kejohanan tahun ini yang ditunda daripada 2020 susulan pandemik Covid-19 sepatutnya dianjur bersama Colombia dan Argentina.

Bagaimanapun, Colombia kehilangan status akibat situasi politik tidak menentu manakala penularan kes koronavirus yang makin meningkat menyebabkan perlawanan tidak dapat diadakan di Argentina.

Conmebol bertemu semalam bagi menentukan nasib kejohanan dan membuat keputusan memindahkan kejohanan ke Brazil yang muncul juara di tempat sendiri pada 2019.

Badan bola sepak itu dalam Twitter rasminya berkata: "Copa America 2021 akan berlangsung di Brazil!

"Tarikh mula dan tamat kejohanan telah dimuktamadkan. Venue dan jadual perlawanan akan diumumkan Conmebol dalam masa beberapa jam lagi."

Copa America bakal berlangsung dari 13 Jun sehingga 10 Julai dengan butiran lanjut lokasi dan jadual penuh perlawanan akan diketahui dalam masa terdekat.

"Conmebol berterima kasih kepada Presiden Jair Bolsonaro dan pasukannya selain Persekutuan Bolasepak Brazil yang membuka pintu kepada kejohanan sukan paling selamat di dunia.

"Amerika Selatan akan bersinar di Brazil dengan semua bintangnya!" menurut Twitter Conmebol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 7:06 AM