PEMAIN Brazil, Richarlison menjulang trofi Copa Amerika pada Julai 2019 di Stadium Maracana dekat Rio de Janeiro. FOTO AFP
PEMAIN Brazil, Richarlison menjulang trofi Copa Amerika pada Julai 2019 di Stadium Maracana dekat Rio de Janeiro. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Brazil akan memulakan kempen Copa America yang hampir dibatalkan pada Isnin ini di gelanggang sendiri buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila bertemu Venezuela.

Selepas setahun tertangguh, Copa America akhirnya bakal dianjurkan juga dengan jumlah pasukan lebih sedikit dan paling penting berlangsung ketika pandemik Covid-19 lebih mengganas berbanding 12 bulan lalu.

Penganjur bersama, Argentina dan Colombia terpaksa digugurkan daripada menganjurkan kejohanan itu berikutan peningkatan kes Covid-19 di kedua-dua negara.

Brazil mengambil alih tugas selaku tuan rumah yang disokong presidennya, Jair Bolsonaro.

Dua tahun selepas memenangi Copa America kali kesembilan di halaman sendiri, Brazil menganjurkan kejohanan itu sekali lagi meskipun negara itu merekodkan 480,00 kematian iaitu kedua tertinggi akibat Covid-19 di belakang Amerika Syarikat (AS).

Malah barisan pemain juara bertahan itu secara terbuka menyatakan tidak mahu turun beraksi.

"Kami menentang penganjuran Copa America tetapi kami tidak akan berkata tidak kepada skuad kebangsaan Brazil," kata barisan pemain dalam satu kenyataan bersama di media sosial awal minggu ini.

Mereka juga mengkritik badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL apabila menyatakan tidak berpuas hati dengan cara menguruskan kejohanan itu.

Barisan pemain lain seperti bintang Argentina, Sergio Aguero dan Luis Suarez (Uruguay) turut mengkritik keputusan untuk meneruskan penganjuran kejohanan itu di Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 10:57 AM