PEMBURUAN kasut emas antara Ronaldo dan Lukaku. FOTO AFP
PEMBURUAN kasut emas antara Ronaldo dan Lukaku. FOTO AFP
AFP

Madrid: Portugal berada dalam keadaan penuh emosi ketika saingan peringkat kumpulan Euro 2020 dengan Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi sandaran dan mereka kini mula mempercayainya.

Selepas meledakkan tiga gol untuk menewaskan Hungary, Portugal dikejutkan dengan kekalahan 2-4 kepada Jerman dan keputusan seri 2-2 bertemu Perancis kembali menghidupkan semangat bagi memastikan mereka mara ke pusingan kalah mati selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga Kumpulan F.

Mereka akan menentang Belgium di Seville awal pagi Isnin ini, salah satu daripada pasukan pilihan itu akan terkeluar dan ia akan menjadi perlawanan tumpuan.

Pertembungan untuk kasut emas juga akan berlaku membabitkan Ronaldo dengan pemain Belgium, Romelu Lukaku.

Ronaldo mengetuai senarai penjaring terbanyak ketika ini dengan lima gol manakala Lukaku tidak jauh ketinggalan tiga gol.

Portugal mungkin hanya memperoleh satu mata ketika mereka berdepan Perancis di Puskas Arena di Budapest namun kepercayaan dan keyakinan yang diperoleh ketika pertemuan menentang juara dunia itu sangat penting untuk keseluruhan pertandingan ini.

Selepas tewas kepada Jerman, seri bertemu Perancis, persembahan yang komited, teratur dan agresif mengingatkan kembali pencapaian Portugal ketika mereka muncul juara Euro 2016 dan Liga Negara-Negara tiga tahun lalu.

"Kami kuat dan konsisten. Pemain membantu satu sama lain, kami mempunyai penguasaan dan menyerang dengan baik. Kami bertambah baik berbanding perlawanan menentang Jerman," kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

Santos turut bertindak balas berhubung kritikan terhadap pendekatan lapuk apabila menggunakan sistem 4-3-3 sejak dua tahun lalu dan membuat beberapa perubahan berani pada kesebelasan utamanya.

William Carvalho dan Bruno Fernandes, yang bergelut pada dua perlawanan awal, membuka jalan buat pemain muda Renato Sanches dan pemain berpengalaman Joao Moutinho, yang sama-sama bangkit mencabar Paul Pogba dan N'Golo Kante.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 10:54 AM