REAKSI Ronaldo ketika sesi latihan Portugal di Budapest semalam. FOTO AFP
REAKSI Ronaldo ketika sesi latihan Portugal di Budapest semalam. FOTO AFP
AFP

Budapest: Jerman boleh memastikan kemaraan ke peringkat 16 terakhir Euro 2020 pagi Khamis ini tetapi juara bertahan Portugal berdepan risiko tersingkir walaupun bermula cemerlang dalam Kumpulan F.

Perancis di tangga teratas dengan empat mata menjelang aksi terakhir menentang Portugal, ulangan final 2016 walaupun hanya mampu seri 1-1 dengan pasukan corot, Hungary di Budapest.

Jerman dan Portugal terikat tiga mata tetapi skuad Joachim Loew mempunyai kelebihan rekod pertemuan selepas menang 4-2 di Munich yang memberi tekanan kepada Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukan.

Portugal memulakan kempen dengan menewaskan Hungary 3-0 yang menyaksikan Ronaldo muncul penjaring terbanyak dalam sejarah Kejohanan Eropah tetapi Fernando Santos hanya mampu melihat pasukannya dibelasah Jerman pada Ahad lalu.

"Kami fokus perlawanan ini dan tahu apa perlu dilakukan kerana ia aksi penting menentang Perancis,'' kata Santos.

Ronaldo meledak jaringan ketiganya dalam dua perlawanan ketika menentang Jerman untuk jumlah keseluruhan 12 gol setakat ini di Kejohanan Eropah.

Tetapi kekalahan kelima sepanjang pertemuan dengan Jerman menyebabkan Portugal perlu mengelakkan kekalahan ketika menentang juara dunia Perancis untuk mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati.

"Aksi seterusnya menentang Perancis memang sukar,'' kata pemain tengah, Joao Moutinho. "Kami mahu memberikan imej yang lebih baik berbanding aksi sebelum ini.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 10:05 AM