KETUA jurulatih Belgium, Roberto Martinez pada sidang media menjelang perlawanan pusingan kedua dengan Portugal. FOTO AFP
KETUA jurulatih Belgium, Roberto Martinez pada sidang media menjelang perlawanan pusingan kedua dengan Portugal. FOTO AFP
AFP

Brussels: Jurulatih Belgium, Roberto Martinez berkata, pasukannya tidak akan mengubah penampilan untuk menentang juara bertahan, Portugal di pusingan kedua Euro 2020, esok, sekalipun berdepan ancaman penjaring terbanyak kejohanan, Cristiano Ronaldo.

Belgium, pasukan di tangga teratas dunia, berdepan undian sukar selepas mengumpul sembilan mata pada tiga aksi Kumpulan B, manakala Portugal layak selaku antara empat pasukan tempat ketiga terbaik iaitu laluan sama mereka pada 2016.

Tetapi, berbekalkan aksi cemerlang Romelu Lukaku dan Kevin De Bruyne yang kembali cergas sambil Eden Hazard berada dalam kesebelasan utama ketika menang 2-0 ke atas Finland, Belgium turut memiliki ketajaman penyudah sendiri.

"Kami tidak akan mengubah diri sendiri. Kami pasukan dinamik dicipta untuk menyerang dan mendapatkan gol secepat mungkin, tapi kami turut perlu bersabar," kata Martinez pada sidang media, hari ini.

"Kami perlu membuat keputusan bila untuk bersabar dan bila masa sesuai melakukan serangan balas pantas.

"Kami penuh keyakinan dan apabila menikmati bola sepak sebenar, kami bermain pada tahap terbaik."

Belgium menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2018, tetapi berdepan laluan berliku untuk ke final Euro 2020 pada 11 Julai di Wembley kerana sekiranya menewaskan Portugal, Itali dan Perancis atau Sepanyol akan menjadi penghalang di dua pusingan berikutnya.

"Ia adalah laluan sukar, tetapi jika kami melepasi semuanya, itu lebih baik," kata penjaga gol, Thibaut Courtois. "Ini undian kami dan kami berharap menyudahkannya dengan sempurna."

Lawan pertama adalah Ronaldo bersama Portugal di Seville, dan Belgium memiliki rehat lebih dua hari berbanding Portugal, yang seri 2-2 dengan Perancis pada Rabu lalu untuk mara ke pusingan kedua.

"Mungkin pertemuan kami ini terlalu awal, tetapi anda harus bersedia," kata Martinez.

"Portugal adalah pasukan yang mampu melakukan sesuatu dengan baik. Kami menyaksikan permainan berbeza mereka ketika menentang Perancis, Jerman dan Hungary."

"Apabila mereka membuktikan mampu menang ke atas Perancis di Paris di Euro 2016, saya fikir ia membuktikan apa yang dimiliki mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 12:35 AM